Mengejar Langit Biru - Bab 8

 BAB  8 : ADAKAH LEBIH BAIK AKU TIADA?



Jenazah ayah Nadhira selamat dikebumikan selepas Asar. Aku meminta izin untuk bertolak pulang ke KL sebelum jenazah dikebumikan, kononnya supaya tak terlewat sampai ke rumah. Perjalanan Ipoh – KL kalau tak jem mungkin 4 jam perjalanan baru aku sampai ke rumah.

Sebenarnya aku tak tahan berlama-lamaan bersedih dengan Nadhira. Bila aku beritahu yang aku mahu pulang, dia senyum saja.

“Aku faham El. Kau pun mesti belum cukup bertenang lagi kan. Aku tak paksa kau untuk sama-sama bersedih dengan aku.” Dan kedua-duanya berjurai airmata buat kesekian kali.

Sepanjang aku memandu pulang ke KL, ingatanku teringat kembali waktu aku tiba di rumah Nadhira. Sebaik saja aku menjejakkan kaki ke rumahnya, dia terus menerpa dan memelukku erat.

“Aku dah tak ada ayah, El.” serentak dengan kata-kata Nadhira, kami sama-sama menangis. Aku melihat ibu Nadhira turut mengelapkan airmatanya yang tumpah dengan hujung tudung bawal, sebak melihat kami berpelukan dalam tangisan. Nadhira kemudian mengajak aku duduk di ruang tamu, sementara dia melayan tetamu yang hadir.

Bagai dicubit peha kiri, peha kanan yang terasa pedihnya. Airmata aku sendiri tak henti-henti mengalir sehinggalah aku pulang. 

“Allah uji aku hilang ahli keluarga, hilang satu-satunya ayah yang aku ada, Allah ambil terus dari aku. Kau kena sama-sama kuat dengan aku El, kita kena sama-sama belajar redha menerima qada’ dan qadar.” Sempat pula Nadhira memberi nasihat padaku. 

Isa masih hidup, dia belum mati. Tetapi kalau kehilangan orang hidup itu lebih sakit, lebih baik aku ataupun Isa yang mati. Supaya salah satu dari kami dapat meneruskan hidup, bukan sekadar hidup seperti mayat - mati tak mahu hidup pun segan.

Aku teringat tazkirah di radio Ikim.fm tentang kematian.


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12)


Matinya seseorang bererti terputuslah segala amalan seorang manusia. Amalan yang membezakan sama ada syurga atau neraka pengakhiran kita. Hanya amalan yang cukup dan sempurna, yang cantik saja sesuai untuk dipersembahkan kepada Allah SWT sebagai permohonan kita untuk memasuki syurgaNya.

“Bersediakah kita untuk transisi diri dari dunia sekarang ke dunia barzakh? Bersediakah diri kita, dah dipersiapkankah diri kita untuk ke dunia barzakh? Ketahuilah kita, bahawa ketauhidanlah yang menyebabkan hati kita percaya kepada Allah. Tauhid yang membuatkan kita yakin bahawa setiap masalah yang ada di dunia ini akan dapat diselesaikan, kerana Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Ketauhidan kita kepada kuasa Allah yang Maha Mengetahui itulah yang membuatkan kita percaya segalanya akan okay.”

Cukupkah ketauhidan aku pada Allah? Cukupkah iman aku untuk dibawa ke akhirat? Cukupkah amalanku selama ini?

Ataupun lebih baik aku mati saja dan biar Allah yang menentukan segalanya?

Tiba-tiba cahaya kereta di depan memancarkan silau tinggi dan aku terkebil-kebil tidak dapat melihat jalan di hadapan.

Mengejar Langit Biru - Bab 7

 BAB  7: SEMAKIN JATUH




Pranggg!!!

Aku terkejut dari tidur dan bingkas bangun dari katil. Tombol pintu bilik kupegang tetapi pergerakanku terhenti. Ada bunyi hingar di luar bilik bertanyakan apa yang terjadi.

Ah! Pinggan pecah rupanya. Itu pun kecoh satu dunia.

Aku mendengus kuat dan kembali berbaring di atas katil. Telefon menunjukkan sudah jam 12 tengahari. Hari ini hari Sabtu. Bermakna sudah beberapa hari aku kembali ke rumah daripada Bangkok.

Mata merenung kosong ke atas siling. 

Kenapa kau tak keluar bilik dan tengok apa yang terjadi?

Malas aku.

Apa yang kau malaskan?

Malas nak berjumpa dengan orang. Malas nak bercakap. Malas nak dengar orang lain membebel kat aku.

Sebenarnya kau bukan malas, kan?

Habis tu, apa?

Kau malu dengan orang lain. Kau rasa kau gagal. Kau tahu kau bersalah dan ada buat salah dengan mereka, kan.

Diam. 

Orang takkan faham aku.

Macam mana orang nak faham kalau kau tak cuba fahamkan mereka?

Sakit tu aku yang rasa, bukan orang lain. Tentulah orang lain takkan faham.

Kau cuma cari jalan nak salahkan orang lain. Pernah tak kau salahkan diri sendiri?

Diam lagi.

Aku berhenti berfikir kerana fikiranku semakin bercelaru. Serabut! Mata dipejam rapat-rapat bagi menghilangkan apa-apa fikiran yang datang.

Tiba-tiba terasa sunyi. Terlalu sunyi. Sunyi yang menyesakkan dada. Sunyi yang diam-diam membingitkan telinga. The deafening silence. 

Arghhh!!! Rasa nak gila!

Tangan bingkas meraba di bawah bantal mencari fon telinga dan sepantas kilat kusumbatkan ke dalam telinga selepas menyambungkan ke telefon.

Lagu Numb - Linkin Park berkumandang di telinga. Aku pasang sekuatnya biar sampai hilang bunyi sunyi di luar dan lenyap suara bingit di fikiran.



*****

Telefon berdering beberapa kali. Aku tolak semua panggilan yang masuk tanpa melihat dari siapa. Letih. Badan masih letih. Otak semakin letih. Kepala tak berhenti berdenyut kesakitan.

Aku seolah-olah ditelan ke dalam suatu ruang kegelapan. Terus masuk dan tiada penghujungnya.



*****

Hujung katilku terasa berat. Seolah-olah ada sesuatu di situ. Aku masih enggan bergerak seinci pun. Kepala masih tersembunyi di bawah bantal. Bantal yang belum-belum kering kerana sentiasa basah dek airmataku.

"El." emak rupanya. Suara emak perlahan memanggil nama manjaku. Hatiku tiba-tiba jadi sayu. Airmata tumpah lagi.

Tangan emak kini berada di betis kakiku, mengusap perlahan.

"El, bangunlah. Berapa lama lagi nak tidur ni? Bangunlah. Mak masak sedap-sedap kat dapur tu." emak cuba memujuk aku. Badanku masih keras tidak beranjak.

Mungkin emak putus asa menungguku kerana akhirnya berat yang berada di hujung katilku tiba-tiba tiada, tanda emak sudahpun bangun dari katil. Pintu bilik berbunyi klik dua kali, dibuka dan ditutup kembali.

Bantal yang ditekup di kepala aku alihkan dan melihat ke arah pintu bilik yang terletak di hujung katilku. Memang emak sudah tiada. Nafas dihela panjang dan kulepaskan kuat.

Ok, mak. El bangun ni. 

Telefon kucapai dan melihat notifikasi yang muncul. Beberapa panggilan dari Nadhira, whatsapp dari Nadhira dan Isa.

Whatsapp dari Nadhira dibuka.

"El? Ke mana kau hilang ni??"
"El, ayah aku dah takde El.. please be with me.."
"El, call me back if you can."

Tanganku laju membalas whatsapp Nadhira bertanyakan khabar dia. Aku jadi susah hati bila Nadhira dalam kesusahan dan aku tiada, sedangkan waktu aku bersedih mahu lari ke Bangkok, dia ada.

Rasa bersalah bertambah di dalam hati. Kepala semakin sakit. Jiwa semakin kosong.

Mengejar Langit Biru - Bab 6

BAB  6: SALAHKAH AKU?




"Confirm ke awak nak balik ke Bangkok besok?" Anas melontarkan soalan cepumas kepadaku. Kami jalan beriringan ke Siem Reap Night Market yang terletak agak jauh dari hotel kami. Malam ini rambut Anas terikat di paras tengkuk. Sekali sekala aku terbau haruman sabun dari badannya. Aku cuma berharap peluh badanku tak berbau busuklah sebab jauh juga perjalanan pergi pulang ke hotel. Boleh tahan basah ketiak dibuatnya.

"Confirmed. Saya dah book dah van balik ke Bangkok dengan kaunter hotel kita petang tadi."

Kalau ikutkan hati, aku tak mahu balik. Tak mahu berhadapan dengan realiti. Takut nak jumpa bos, kawan-kawan sekerja, mak ayah, takut dengan Isa. Takut kecaman. Takut lemah. Segalanya takut.

"Oh ye ke? Pukul berapa awak akan bertolak?"

"Pagi. Selepas Subuh mungkin."

Diam. Tiada soalan susulan.

Adakah Anas sedih bila aku sudah pulang nanti?

Kami ralit memilih makanan gorengan apabila terjumpa satu gerai halal. Tawakal sajalah yang gerai ini memang menjual makanan halal. Si penjual pun adalah wanita bertudung. Mungkin mereka adalah orang Islam Cham. Kami memilih untuk makan sambil meronda di sekeliling pasar malam di sini.

“Anas, nanti bila balik Malaysia, awak jangan lupakan saya ya?” 

Pintaku kepada Anas sambil kami mencuci mata di pasar malam. Tidak ada bezanya di antara pasar malam di sini dan di Malaysia. Mungkin aku akan membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang ke Malaysia. Ada beberapa jenis kraftangan tempatan di sini yang sesuai untuk dijadikan buah tangan.

“Ya, insya-Allah. Sedih juga bila awak nak tinggalkan saya seorang ni. Saya tak sangka pun sebenarnya trip saya ni ada teman."

Riak wajahnya sedikit berubah. Bukan lagi seorang Anas yang tenang. Aku melihat dia mengusap-usap belakang tengkuk. Tak tahu apa yang bermain di fikirannya.

Alahai hati... cepatnya kau rasa kasihan pada orang. Yang penting jangan jatuh cinta pulak!

"Rajin-rajinlah hantar text whats-app, hantar gambar bila awak sampai di tempat baru." Anas mengangguk-angguk mendengar kataku. 

"Awak kena kuatkan semangat. Walaupun saya tidak tahu sangat apa masalah awak, tapi awak jangan putus asa.” Nasihat Anas kepadaku. 

“Awak nak dengar masalah saya?” tiba-tiba aku bertanya. 

Aku sendiri terkejut dengan soalan yang keluar dari mulutku. Apakah aku rasa serasi dengan Anas jadi aku mudah mahu meluahkan perasan? Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata teruskanlah sahaja.

“Kalau itu yang boleh membuatkan awak rasa lega.” Jawab Anas pendek. Dia melangkah pendek-pendek seolah-olah mahu kami lambat tiba ke hotel kami. Aku turut mengikut rentak langkahnya.

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan penceritaanku.

"Saya baru lepas break-up." Aku memulakan kata.

"Ya, awak ada bagitahu waktu kita makan malam semalam." Oh ya, kenapa aku boleh terlupa pula.

“Kami dah kawan lama. Sejak kami di matrik lagi sudah bercinta. 4 tahun bercinta, tapi putus di tengah jalan."

"Kenapa?" ada nada prihatin pada soalan Anas.

“Sayangnya, semenjak kami mula bekerja, masing-masing mula sibuk. Akhirnya kami buat keputusan untuk berpisah.”

“Teruskan.” Pinta Anas.

“Walaupun kami dah berpisah, tapi memandangkan kami dah terlalu rapat jadi kami masih berhubung seperti biasa. Cuma tidaklah sekerap sewaktu belajar dulu. Sehinggakan saya langsung tidak dapat syak yang dia sudah ada perempuan lain.” 

Aku terdiam sebentar. Cuba mencari ayat yang sesuai untuk meneruskan bercerita. Anas mengambil peluang untuk bertanya.

“Maksud awak, dia ada kekasih selepas awak berdua berpisah?” 

Soalan ringkas daripada Anas membuatkan langkahku terhenti. Anas turut berhenti. Aku memandang Anas dengan pandangan penuh membara seperti naga mahu menerkam mangsa. Darahku membuak-buak hingga terasa denyutan di kepala. Soalan Anas seolah-olah Anas mahu menyalahkan aku, dan akulah sebenarnya penjahat dalam ceritaku sendiri. Tiba-tiba aku jadi tak waras dan mula marahkan Anas.

“Awak tak faham! Dia tak pernah berterus terang dengan saya yang dia sudah ada orang lain. Kami berkawan seperti kami tak pernah berpisah. Dia bilang cinta, rindu pada saya. Jadi sayakah yang bersalah dalam hal ni?"

Airmataku mencurah laju ke pipi sebaik saja aku habis berkata-kata. Denyutan di kepala bertambah kuat. Mata semakin kabur. Dada terasa sesak, susahnya mahu mencari senafas. Aku tak pasti apa yang terjadi selepas itu.



Mengejar Langit Biru - Bab 5

 BAB  5 : ANGKOR WAT

 



Hari kedua kami di Siem Reap. 

Kami sudah merancang untuk ke Angkor Wat. Angkor Wat adalah kuil lama yang terbesar dan merupakan salah satu tarikan yang terdapat di dalam Angkor Archeological Park. UNESCO telah menyenaraikan kawasan ini sebagai satu kawasan arkeologi terpenting di Asia Tenggara. Ianya berkeluasan lebih dari 400 kilometer persegi, termasuklah kawasan berhutan dan penempatan rakyat. Ianya merupakan tinggalan dari kota lama pemerintahan Khmer dari abad ke-sembilan sehingga ke-lima belas. 

Kami menaiki tuktuk seawal jam 4.30 pagi iaitu sebaik saja selesai solat Subuh. Misi kami pagi ini adalah mahu menyaksikan fenomena matahari terbit di sebalik Angkor Wat. Tuktuk yang kami naiki ini pula sudah ditempah malam semalam di kaunter hotel kami.



"Ramainya." aku terkejut melihat ramai orang terutamanya foreigners telah mula mengerumuni kawasan Angkor Wat. 

"As expected. Ini pun bukan musim ni, kalau musim mestilah lagi penuh dan padat. Mereka ini ada yang dah tunggu di sini dari jam 3 pagi, tahu."

Fuh. Mind-blown. Aku belum pernah lagi jumpa segerombolan manusia sebegini ramai yang mana semuanya berkumpul bagi tujuan yang satu - untuk menyaksikan keindahan Pencipta Alam.

"Jom, El. Kita cari tempat lengang sikit. Saya nak pacak kamera ni." Anas menunjukkan monopod DSLR kepadaku.

Kami agak bertuah kerana berjaya mendapatkan tempat yang strategik kerana tidak lama kemudian langit pun mula bertukar warna. Warna jingga muncul setitik di langit. Kami menunggu lagi sehingga warna yang sama mula berselerak di awan memadamkan warna hitam malam.

Ada satu rasa aneh muncul dalam diri apabila melihat keajaiban yang berlaku di depan mataku. Bila malam menyerah pada sinar pagi yang muncul. Ia bukan hilang, kau tahu ianya tetap di situ. Cuma memberi ruang pada si jingga dan siang mengambil ruang.

Tuhan,
NikmatMu selalu kudustakan
Malah selalu kudesakkan
Kau turutkanlah mahuku, seleraku, aturanku
Sedang aku lupa yang Kau
Biarpun aku dilanda badai dan gelora
Tetaplah Kau begitu, setia
Seperti setianya malam pada siang
Bersilih gelap dan terang
Menanti aku kembali padaMu
Tunduk, faham dan akur
Yang Kau adalah Pencipta dan aku adalah hamba
Desakanku bagaimanapun tetaplah Kau yang Maha Tahu
Hitam putih yang mana buatku.
(Elina, April 2017)


How To Get The Perfect Angkor Wat Sunrise Photo | Explore Shaw

Orang masih belum putus-putus datang ke Angkor Wat, malah tempat kami yang mulanya agak lengang juga semakin penuh. 
Suasana yang dingin pada awal pagi tadi sudah mula hilang dan bahang panas mula terasa. Kami membuat keputusan untuk sarapan pagi dahulu sebelum sambung menjelajah ke dalam kawasan Angkor Wat.

*****

Aku termenung melihat pasangan di hadapanku. Sweet. Mereka bergurau senda sambil menyuapkan makanan pada satu sama lain. Aku tiba-tiba sebak. Bukanlah aku seromantis begitu sewaktu bersama Isa, tapi ianya membuatkan aku rindu pada dia.

"Ok tak tu?" Anas menegurku. Aku tersengih malu sambil mengacau air dengan straw.

God, can this man just ignore me. Baru nak fe-feeling.

Entah kenapa mulut aku gatal mahu berbual perkara peribadi dengannya.

"Kenapa ya? Dua manusia yang saling suka satu sama lain, tapi tak boleh nak bersama hingga ke akhirnya?" 

Jariku masih bermain straw sambil aku terjeling-jeling pada Anas. Segan nak melihat wajah Anas, takut isi hatiku ketahuan tapi dalam masa yang sama mahu mendengar jawapan.

Lambat-lambat dia menjawab. Aku perasan Anas ada satu habit apabila dia sedang berfikir. Tangannya akan bergerak membuat sesuatu sedang mukanya serius berfikir. Dia mengambil getah rambut di pergelangan tangan dan menocang rambutnya tinggi di atas kepala secara bun.

"Sebab itulah namanya bukan jodoh?" dia tergelak kecil. Aku menjulingkan mataku ke atas.

Menyampah pula dengar jawapan cliche begitu.

Anas berdehem kemudian menyambung kata. Kali ini lengan t-shirt pula yang menjadi mangsa sambil dia berfikir. Anas menggulung kecil lengan t-shirt birunya bermula dari lengan kiri, kemudian lengan kanan. 

Pelik-pelik sajalah manusia ni. Apa habit tanpa sedar aku waktu berfikir ya?

"Well... manusia ni secinta mana pun satu sama lain, kalau masing-masing tak ada matlamat yang sama memang satu hari mereka akan fall out of relationship. Sebagai contoh, cuma satu pihak je yang nak segera halalkan hubungan tapi satu pihak lagi belum bersedia. Tu pun boleh jadi sebab berlainan matlamat, yang menyebabkan mereka berpisah."

Aku cuba membaca airmuka Anas. Wajahnya tenang. Kali ini dia menyedut habis-habis air di dalam cawannya. Aku cuba membaca riak wajahnya, adakah dia pernah merasa putus cinta? Pernah ditinggalkan?

"Sebab itu ada pakar cinta yang nasihatkan kalau nak bercinta, biarlah terus berniat untuk berkahwin. Kalau mahu berkahwin, carilah sekufu yang mahu berkahwin juga. Barulah hubungan tak terputus di tengah jalan. Tapi kalau terputus juga, mungkin memang betul-betul tiada jodoh."

Aku cuma mengangguk-anggukkan kepalaku. Malas mahu mengulas kata-katanya. Hati masih degil mahu menerima kenyataan bahawa aku dan Isa tiada jodoh di antara kami.

"Jomlah gerak. Panaslah." aku bingkas bangun dari kerusi seraya mengajak Anas meneruskan ekspedisi kami menjelajah Angkor Wat dan wat yang lain di sekitarnya.





Mengejar Langit Biru - Bab 4

 

BAB  4 : BORDER-CROSSING

 



Seawal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Aranyaprathet. Aku menunggu Anas di lobi hostel seperti yang dipersetujui malam tadi. Sementara menunggu Anas tiba, aku sempat membaca pesanan ringkas Whatsapp di telefon.

Ada beberapa pesanan ringkas yang belum berjawab semenjak aku tiba di Bangkok.

Ayah: Hati-hati mencari jalan. Moga awak bertemu dengan jalan yang dicari.

Emak: Jangan lama-lama di tempat orang, jangan merayap entah ke mana. Cepat balik.

Isa:  El kat mana?

Isa: El jangan diam je. Balaslah text aku.

Isa: Baiklah kalau taknak reply. Hati-hati walau kat mana kau pergi.

Whatsapp dari Isa aku biarkan tak berjawab. Aku tak tahu apa yang perlu aku balas kepadanya. Hati masih sedih, pedih, tapi dalam masa yang sama rasa terharu dia masih mengambil tahu tentang diriku.

Sebaik saja Anas tiba ke lobi, kami segera menguruskan check out dari hostel dan berjalan kaki ke stesen keretapi Hua Lamphong.

Suasana di luar masih gelap. Ya lah, masih Subuh sepi'e. Di luar stesen keretapi aku melihat ramai yang tidur di sepanjang koridor. Bila masuk ke dalam stesen, orang masih belum ramai jadi kami tidak perlu beratur panjang untuk membeli tiket.

Kebetulan kaunter pertukaran wang juga sudah dibuka maka Anas mengajakku menukarkan sedikit wang ke US Dollar kerana US Dollar lebih banyak digunakan di Kemboja berbanding duitnya sendiri iaitu Riel.

"Jom." Anas mengajak naik ke keretapi.

Keretapi yang kami naiki ini berbeza dengan keretapi antarabandar dari Penang ke Bangkok. Keretapi ini jenis kelas ketiga - tiada penyaman udara kecuali udara dari luar kenderaan. Ada koc yang mempunyai ceiling fan tapi kecil saja, entahkan terasa ke tidak anginnya. Kerusi pula jenis kayu yang duduknya tegak 90 darjah.

"Duduk sinilah." Aku memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Anas pun mengambil tempat duduk di hadapanku dan kami meletakkan beg di kaki masing-masing.

"Saya tidur ya." Anas memaklumkan kepadaku. 

Aku menganggukkan kepala. Aku pun mahu menyambung tidur. Telefon bimbit dan earphone aku keluarkan dari poket dan mula memilih lagu dari telefon untuk didengar.

Lagu Oasis - Wonderwall pun berkumandang di telinga.

Because maybe

You're gonna be the one that saves me

And after all

You're my wonderwall


Lagu bertukar pula kepada nyanyian Sufian Suhaimi. Tiba-tiba mataku terasa panas dan berpasir.

Apakah salahku kau buatku begini?

Selalu sendiri, tinggal sendiri.

Cinta yang ku pinta, kau balas dengan dusta

Berat bagiku.


Melepaskanmu

Bukan mudah bagiku untuk melalui semua ini

Pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati

Kala malam tidurku tak lena mengenangkanmu


Ku cuba pertahankan

Separuh jiwaku hilang ikut terbang bersamamu



Ya, separuh jiwaku hilang bersamamu, Isa. Kalaulah hati ini boleh dilihat sebagai kaca, nescaya kau akan nampak betapa ianya telahpun pecah seribu. Bagaimana mahu aku kutip, atau bolehkah disambung kembali setiap cebisan kaca yang telah pecah ini? 

Lagu bersambung pula dengan lagu Faizal Tahir - Hanyut. Aduh, kenapalah playlist aku semuanya melankolik? Airmata ni bagai tak tertahan ianya jatuh.


Saat mata terpejam

Hanya kau kuterbayang

Menghapus semua segala resah di jiwaku

Saat mata terbuka

Kamulah yang pertama

Tak mampu aku bayangkan hidup tanpa dirimu

Maafkanlahku tak bisa hidup tanpa kamu

Fahamilahku tak mampu terus tanpa kamu

Bagaimanaku nanti bila tiada mengganti

Yang ku ada hanya kamu saja



Tiba-tiba bahu kananku terasa dicuit. Aku segera mengelap pipiku dengan hujung lengan baju sebelum aku menoleh ke kanan. Anas memandangku dengan muka penuh kerisauan.

“Awak okay?” 

Aku terasa sebak dengan soalannya, dan entah bagaimana airmataku mengalir kembali tetapi segera kuseka supaya airmataku cepat berhenti.

“Awak, sabarlah ya.. jangan menangis lagi.” 

Anas cuba memujuk. Aku menggangguk kepalaku perlahan sambil menarik nafas panjang. Spontan mataku memandang ke kerusi di hadapanku dan melihat sepasang penumpang sedang memerhatikanku.

 Aku tersengih memandang mereka.

“Anas, dah berapa lama mereka tengok saya? Malunya!” 

Teruk sangatkah aku menangis sehingga diperhatikan sebegini rupa? Aduh!

"Ya, sebab itulah saya cuit awak, tahu? Saya panggil pun awak tak dengar kan sebab telinga dah tersumbat."

Aku sengih terpaksa mendengarkan penjelasan Anas. Aku memandang pasangan di hadapanku kembali sambil mengangguk kepala ke arah mereka tanda hormat.

Anas menyenggol lenganku dengan sikunya.

“Walau apa pun yang awak sedang hadapi, awak kena ingat. Setiap sesuatu itu berlaku untuk tempoh sementara. Rasa sedih awak cuma sementara, Awak cubalah relax and enjoy this trip, ya?” 

Aku mengangguk-angguk tanda faham. Aku jadi lali pula menangis bila bersama Anas. Dah tak malu seperti mula-mula aku berjumpa dengan dia.

"Eh, bila masa awak duduk sebelah saya?" kewarasanku datang tiba-tiba. Rasanya mula-mula tadi Anas duduk di depan aku.

Anas tak menjawab soalanku sebaliknya dia pura-pura membaca buku di tangan. Malas melayan aku mungkin.


* * * *

Kami tiba di stesen Aranyaprathet lebih kurang jam 12.15 tengahari. Sebaik saja kami turun dari keretapi, terdapat beberapa ‘ulat’ yang sudah menunggu kami dan mengajak kami menaiki tuktuk mereka. 

Anas tawar-menawar dahulu sebelum bersetuju untuk menaiki salah satu tuktuk. Anas turut memberi amaran kepada pemandu tuktuk tersebut untuk tidak membawa kami ke pejabat palsunya untuk membuat ‘Visa on Arrival’, kerana kami warga Malaysia yang tidak memerlukan visa atau dalam erti kata lain kami boleh memasuki Kemboja tanpa visa selama tempoh lima belas hari. 

Seronok juga berjalan dengan orang yang tahu selok belok scammers. Aku jadi pak turut saja, ikut saja apa kata Anas.

Dari stesen Aranyaprathet kami menaiki tuktuk selama 5 minit ke pejabat imigresen Thailand. Kalau berjalan kaki dari stesen Aranyaprathet mungkin kami boleh tiba di imigresen Thailand dalam 15 minit. Tak jauh pun.

Imigresen Thailand akan memeriksa paspot dan Departure Card untuk membolehkan kami keluar dari Thailand. Selesai urusan di situ, kami berjalan kaki menuju ke Poipet. 

"Welcome to Cambodia." 

Anas mengucapkan kepadaku sambil jarinya menunjukkan kepada gerbang ‘Kingdom of Cambodia’ yang menyambut kedatangan kami. Kami mengambil kesempatan bergambar dahulu di pintu gerbang tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke pejabat imigresen Kemboja.

Sekali lagi kami disambut oleh beberapa ‘ulat’ teksi dan bas apabila kami melangkah keluar daripada pejabat imigresen Kemboja. 

"Kita nak naik teksi atau naik bas?"

Anas bertanya padaku. Aku teragak-agak membuat pilihan. Samada aku memilih masa, ataupun wang. Naik teksi lebih cepat tetapi mahal. Naik bas lebih murah tetapi makan masa. Sekarang pun sudah menghampiri jam 2 petang. Pukul berapa mahu sampai ke Siem Reap?

Akhirnya kami bersetuju untuk menaiki bas bagi menjimatkan kos. Perjalanan dari Poipet ke Siem Reap memakan masa 3 jam, bermakna kami akan tiba pada jam 5 petang.

Tapi setibanya kami di Siem Reap, kami diberhentikan di suatu kawasan seolah-olah bus stand di kawasan perumahan. Anas sendiri tergamam bila kami diberhentikan di situ. Maknanya kami perlu mencari satu lagi transportasi untuk tiba ke hotel kami. Punyalah jauh perjalanan nak sampai ke hotel!

Honk!

"Where you go?" ada tuktuk yang berhenti dan bertanya kepada kami.

"Holiday Garden Villa."

"Okay okay I know. Come." 

Dalam diam aku berdoa supaya ini bukan satu lagi scammer

Ya Allah, Kau dorongkanlah tuktuk ini ke arah yang benar!


15 minit perjalanan dan akhirnya kami diturunkan di depan sebuah rumah agam yang ditukarkan menjadi hotel. Syukurlah kami tidak ditipu.

"This is your area. Muslim." 

Pemandu tuktuk memberitahu kami. Dia menunjukkan masjid yang berada berhadapan dengan hotel kami, dan gerai masakan halal di sebelah hotel kami.

Aku tersenyum lega sebab Anas berjaya mendapatkan hotel yang berdekatan dengan penempatan (lebih penting, pemakanan) Muslim. Perutku sudah berkeroncong hebat sebab masih belum makan nasi dari siang tadi.

Urusan check-in kami juga amat mudah memandangkan tiada pelawat waktu itu. Kami mendapat dua bilik queen, dengan harga USD10 satu malam untuk setiap bilik. Aku cuma mengambil untuk dua malam saja, dan Anas selama tiga malam.


* * * *

Malam itu selepas Maghrib, kami keluar untuk makan malam di Kedai Makan Muslim Cambodia yang terletak bersebelahan dengan hotel kami. 

Menu utama yang kami ingin cuba ialah sejenis hidangan yang diberi nama ‘Lembu Naik Bukit’. Hidangan ini sebenarnya adalah daging bersama sayur, yang dimasak di hadapan kami. Nampak mudah, tapi bila dimakan rasanya terlalu enak. Entah apa ramuan dan rahsianya. Satu hidangan ini sudah cukup untuk dikongsi bersama aku dan Anas.

“Awak nampak gembira sikit malam ni.” 

“Betul ke? Oh, mungkin sebab dapat makan sedap.” 

Aku jawab endah tak endah. Aku pun tidak pasti betul atau tidak aku merasa gembira malam ni. Cuma aku terasa lega bila ada Anas sebagai peneman, tidaklah aku suram seorang diri. 

“Terima kasih ya, Anas, sebab beri peluang saya ikut sama awak ke sini.” 

Spontan aku mengucapkan terima kasih.

Anas cuma tersenyum sambil mengangkat ibu jari kanannya.

“Saya sebenarnya baru putus cinta. Ini pun saya lari dari rumah sebenarnya.” 

Tiba-tiba aku berterus-terang kepada Anas. Aku memandang Anas sekilas, kemudian memandang nasi di pinggan. Seleraku tiba-tiba mati. Anas tak nampak terkejut dengan pengakuanku.

"Tahu." Anas menjawab pendek.

"Eh?"

"Ya lah, menangis tak habis-habis. Saya dah biasa la dengar orang keluar travel sebab patah hati. Awak pun mesti sama la tu." Anas memukul rata. Sebal pula hati aku mendengar kata-kata Anas.

"Habis tu, awak travel ni sebab putus cinta juga ke?" aku memulangkan paku keras.

Anas cuma diam. Beriya-iya pula dia menambah lauk ke dalam pinggan. 

"Cara yang terbaik untuk pulihkan hati yang sedih ialah awak kena belajar memaafkan dia, dan paling penting kena belajar memaafkan diri sendiri." Anas mencuba untuk menukar topik tentang dirinya,

Aku tak ada pun minta tips move on. Acah pakar hati pula dia ni.

Aku mengutuk Anas dalam hati.

“Awak pernah tengok cerita Eat, Pray, Love tak? Atau baca buku dia ke?” Anas menyambung.

“Pernah tengok cerita dia je. Pada saya, cerita dia biasa-biasa je.” 

Aku menjawab jujur. Pada aku cerita itu agak slow, dan entah kenapa aku kurang minat dengan cerita tersebut.

“Ha.. apa kata balik nanti awak tengok lagi sekali.” Dia mencadangkan.

“Kenapa?”

“Sebab mungkin masa awak tengok tu awak tak berada dalam emosi yang sama dalam cerita tu. Sekarang, mungkin cerita tu boleh jadi relevan pada awak. Awak boleh belajar sesuatu dari cerita tu.” 

Kami kemudian berbual ringan tentang diri sendiri dan masing-masing seolah faham untuk tidak lagi menyentuh topik patah hati.


* * * *

 

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...