Mengejar Langit Biru - Bab 4

 

BAB  4 : BORDER-CROSSING

 



Seawal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Aranyaprathet. Aku menunggu Anas di lobi hostel seperti yang dipersetujui malam tadi. Sementara menunggu Anas tiba, aku sempat membaca pesanan ringkas Whatsapp di telefon.

Ada beberapa pesanan ringkas yang belum berjawab semenjak aku tiba di Bangkok.

Ayah: Hati-hati mencari jalan. Moga awak bertemu dengan jalan yang dicari.

Emak: Jangan lama-lama di tempat orang, jangan merayap entah ke mana. Cepat balik.

Isa:  El kat mana?

Isa: El jangan diam je. Balaslah text aku.

Isa: Baiklah kalau taknak reply. Hati-hati walau kat mana kau pergi.

Whatsapp dari Isa aku biarkan tak berjawab. Aku tak tahu apa yang perlu aku balas kepadanya. Hati masih sedih, pedih, tapi dalam masa yang sama rasa terharu dia masih mengambil tahu tentang diriku.

Sebaik saja Anas tiba ke lobi, kami segera menguruskan check out dari hostel dan berjalan kaki ke stesen keretapi Hua Lamphong.

Suasana di luar masih gelap. Ya lah, masih Subuh sepi'e. Di luar stesen keretapi aku melihat ramai yang tidur di sepanjang koridor. Bila masuk ke dalam stesen, orang masih belum ramai jadi kami tidak perlu beratur panjang untuk membeli tiket.

Kebetulan kaunter pertukaran wang juga sudah dibuka maka Anas mengajakku menukarkan sedikit wang ke US Dollar kerana US Dollar lebih banyak digunakan di Kemboja berbanding duitnya sendiri iaitu Riel.

"Jom." Anas mengajak naik ke keretapi.

Keretapi yang kami naiki ini berbeza dengan keretapi antarabandar dari Penang ke Bangkok. Keretapi ini jenis kelas ketiga - tiada penyaman udara kecuali udara dari luar kenderaan. Ada koc yang mempunyai ceiling fan tapi kecil saja, entahkan terasa ke tidak anginnya. Kerusi pula jenis kayu yang duduknya tegak 90 darjah.

"Duduk sinilah." Aku memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Anas pun mengambil tempat duduk di hadapanku dan kami meletakkan beg di kaki masing-masing.

"Saya tidur ya." Anas memaklumkan kepadaku. 

Aku menganggukkan kepala. Aku pun mahu menyambung tidur. Telefon bimbit dan earphone aku keluarkan dari poket dan mula memilih lagu dari telefon untuk didengar.

Lagu Oasis - Wonderwall pun berkumandang di telinga.

Because maybe

You're gonna be the one that saves me

And after all

You're my wonderwall


Lagu bertukar pula kepada nyanyian Sufian Suhaimi. Tiba-tiba mataku terasa panas dan berpasir.

Apakah salahku kau buatku begini?

Selalu sendiri, tinggal sendiri.

Cinta yang ku pinta, kau balas dengan dusta

Berat bagiku.


Melepaskanmu

Bukan mudah bagiku untuk melalui semua ini

Pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati

Kala malam tidurku tak lena mengenangkanmu


Ku cuba pertahankan

Separuh jiwaku hilang ikut terbang bersamamu



Ya, separuh jiwaku hilang bersamamu, Isa. Kalaulah hati ini boleh dilihat sebagai kaca, nescaya kau akan nampak betapa ianya telahpun pecah seribu. Bagaimana mahu aku kutip, atau bolehkah disambung kembali setiap cebisan kaca yang telah pecah ini? 

Lagu bersambung pula dengan lagu Faizal Tahir - Hanyut. Aduh, kenapalah playlist aku semuanya melankolik? Airmata ni bagai tak tertahan ianya jatuh.


Saat mata terpejam

Hanya kau kuterbayang

Menghapus semua segala resah di jiwaku

Saat mata terbuka

Kamulah yang pertama

Tak mampu aku bayangkan hidup tanpa dirimu

Maafkanlahku tak bisa hidup tanpa kamu

Fahamilahku tak mampu terus tanpa kamu

Bagaimanaku nanti bila tiada mengganti

Yang ku ada hanya kamu saja



Tiba-tiba bahu kananku terasa dicuit. Aku segera mengelap pipiku dengan hujung lengan baju sebelum aku menoleh ke kanan. Anas memandangku dengan muka penuh kerisauan.

“Awak okay?” 

Aku terasa sebak dengan soalannya, dan entah bagaimana airmataku mengalir kembali tetapi segera kuseka supaya airmataku cepat berhenti.

“Awak, sabarlah ya.. jangan menangis lagi.” 

Anas cuba memujuk. Aku menggangguk kepalaku perlahan sambil menarik nafas panjang. Spontan mataku memandang ke kerusi di hadapanku dan melihat sepasang penumpang sedang memerhatikanku.

 Aku tersengih memandang mereka.

“Anas, dah berapa lama mereka tengok saya? Malunya!” 

Teruk sangatkah aku menangis sehingga diperhatikan sebegini rupa? Aduh!

"Ya, sebab itulah saya cuit awak, tahu? Saya panggil pun awak tak dengar kan sebab telinga dah tersumbat."

Aku sengih terpaksa mendengarkan penjelasan Anas. Aku memandang pasangan di hadapanku kembali sambil mengangguk kepala ke arah mereka tanda hormat.

Anas menyenggol lenganku dengan sikunya.

“Walau apa pun yang awak sedang hadapi, awak kena ingat. Setiap sesuatu itu berlaku untuk tempoh sementara. Rasa sedih awak cuma sementara, Awak cubalah relax and enjoy this trip, ya?” 

Aku mengangguk-angguk tanda faham. Aku jadi lali pula menangis bila bersama Anas. Dah tak malu seperti mula-mula aku berjumpa dengan dia.

"Eh, bila masa awak duduk sebelah saya?" kewarasanku datang tiba-tiba. Rasanya mula-mula tadi Anas duduk di depan aku.

Anas tak menjawab soalanku sebaliknya dia pura-pura membaca buku di tangan. Malas melayan aku mungkin.


* * * *

Kami tiba di stesen Aranyaprathet lebih kurang jam 12.15 tengahari. Sebaik saja kami turun dari keretapi, terdapat beberapa ‘ulat’ yang sudah menunggu kami dan mengajak kami menaiki tuktuk mereka. 

Anas tawar-menawar dahulu sebelum bersetuju untuk menaiki salah satu tuktuk. Anas turut memberi amaran kepada pemandu tuktuk tersebut untuk tidak membawa kami ke pejabat palsunya untuk membuat ‘Visa on Arrival’, kerana kami warga Malaysia yang tidak memerlukan visa atau dalam erti kata lain kami boleh memasuki Kemboja tanpa visa selama tempoh lima belas hari. 

Seronok juga berjalan dengan orang yang tahu selok belok scammers. Aku jadi pak turut saja, ikut saja apa kata Anas.

Dari stesen Aranyaprathet kami menaiki tuktuk selama 5 minit ke pejabat imigresen Thailand. Kalau berjalan kaki dari stesen Aranyaprathet mungkin kami boleh tiba di imigresen Thailand dalam 15 minit. Tak jauh pun.

Imigresen Thailand akan memeriksa paspot dan Departure Card untuk membolehkan kami keluar dari Thailand. Selesai urusan di situ, kami berjalan kaki menuju ke Poipet. 

"Welcome to Cambodia." 

Anas mengucapkan kepadaku sambil jarinya menunjukkan kepada gerbang ‘Kingdom of Cambodia’ yang menyambut kedatangan kami. Kami mengambil kesempatan bergambar dahulu di pintu gerbang tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke pejabat imigresen Kemboja.

Sekali lagi kami disambut oleh beberapa ‘ulat’ teksi dan bas apabila kami melangkah keluar daripada pejabat imigresen Kemboja. 

"Kita nak naik teksi atau naik bas?"

Anas bertanya padaku. Aku teragak-agak membuat pilihan. Samada aku memilih masa, ataupun wang. Naik teksi lebih cepat tetapi mahal. Naik bas lebih murah tetapi makan masa. Sekarang pun sudah menghampiri jam 2 petang. Pukul berapa mahu sampai ke Siem Reap?

Akhirnya kami bersetuju untuk menaiki bas bagi menjimatkan kos. Perjalanan dari Poipet ke Siem Reap memakan masa 3 jam, bermakna kami akan tiba pada jam 5 petang.

Tapi setibanya kami di Siem Reap, kami diberhentikan di suatu kawasan seolah-olah bus stand di kawasan perumahan. Anas sendiri tergamam bila kami diberhentikan di situ. Maknanya kami perlu mencari satu lagi transportasi untuk tiba ke hotel kami. Punyalah jauh perjalanan nak sampai ke hotel!

Honk!

"Where you go?" ada tuktuk yang berhenti dan bertanya kepada kami.

"Holiday Garden Villa."

"Okay okay I know. Come." 

Dalam diam aku berdoa supaya ini bukan satu lagi scammer

Ya Allah, Kau dorongkanlah tuktuk ini ke arah yang benar!


15 minit perjalanan dan akhirnya kami diturunkan di depan sebuah rumah agam yang ditukarkan menjadi hotel. Syukurlah kami tidak ditipu.

"This is your area. Muslim." 

Pemandu tuktuk memberitahu kami. Dia menunjukkan masjid yang berada berhadapan dengan hotel kami, dan gerai masakan halal di sebelah hotel kami.

Aku tersenyum lega sebab Anas berjaya mendapatkan hotel yang berdekatan dengan penempatan (lebih penting, pemakanan) Muslim. Perutku sudah berkeroncong hebat sebab masih belum makan nasi dari siang tadi.

Urusan check-in kami juga amat mudah memandangkan tiada pelawat waktu itu. Kami mendapat dua bilik queen, dengan harga USD10 satu malam untuk setiap bilik. Aku cuma mengambil untuk dua malam saja, dan Anas selama tiga malam.


* * * *

Malam itu selepas Maghrib, kami keluar untuk makan malam di Kedai Makan Muslim Cambodia yang terletak bersebelahan dengan hotel kami. 

Menu utama yang kami ingin cuba ialah sejenis hidangan yang diberi nama ‘Lembu Naik Bukit’. Hidangan ini sebenarnya adalah daging bersama sayur, yang dimasak di hadapan kami. Nampak mudah, tapi bila dimakan rasanya terlalu enak. Entah apa ramuan dan rahsianya. Satu hidangan ini sudah cukup untuk dikongsi bersama aku dan Anas.

“Awak nampak gembira sikit malam ni.” 

“Betul ke? Oh, mungkin sebab dapat makan sedap.” 

Aku jawab endah tak endah. Aku pun tidak pasti betul atau tidak aku merasa gembira malam ni. Cuma aku terasa lega bila ada Anas sebagai peneman, tidaklah aku suram seorang diri. 

“Terima kasih ya, Anas, sebab beri peluang saya ikut sama awak ke sini.” 

Spontan aku mengucapkan terima kasih.

Anas cuma tersenyum sambil mengangkat ibu jari kanannya.

“Saya sebenarnya baru putus cinta. Ini pun saya lari dari rumah sebenarnya.” 

Tiba-tiba aku berterus-terang kepada Anas. Aku memandang Anas sekilas, kemudian memandang nasi di pinggan. Seleraku tiba-tiba mati. Anas tak nampak terkejut dengan pengakuanku.

"Tahu." Anas menjawab pendek.

"Eh?"

"Ya lah, menangis tak habis-habis. Saya dah biasa la dengar orang keluar travel sebab patah hati. Awak pun mesti sama la tu." Anas memukul rata. Sebal pula hati aku mendengar kata-kata Anas.

"Habis tu, awak travel ni sebab putus cinta juga ke?" aku memulangkan paku keras.

Anas cuma diam. Beriya-iya pula dia menambah lauk ke dalam pinggan. 

"Cara yang terbaik untuk pulihkan hati yang sedih ialah awak kena belajar memaafkan dia, dan paling penting kena belajar memaafkan diri sendiri." Anas mencuba untuk menukar topik tentang dirinya,

Aku tak ada pun minta tips move on. Acah pakar hati pula dia ni.

Aku mengutuk Anas dalam hati.

“Awak pernah tengok cerita Eat, Pray, Love tak? Atau baca buku dia ke?” Anas menyambung.

“Pernah tengok cerita dia je. Pada saya, cerita dia biasa-biasa je.” 

Aku menjawab jujur. Pada aku cerita itu agak slow, dan entah kenapa aku kurang minat dengan cerita tersebut.

“Ha.. apa kata balik nanti awak tengok lagi sekali.” Dia mencadangkan.

“Kenapa?”

“Sebab mungkin masa awak tengok tu awak tak berada dalam emosi yang sama dalam cerita tu. Sekarang, mungkin cerita tu boleh jadi relevan pada awak. Awak boleh belajar sesuatu dari cerita tu.” 

Kami kemudian berbual ringan tentang diri sendiri dan masing-masing seolah faham untuk tidak lagi menyentuh topik patah hati.


* * * *

 

No comments:

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...