Mengejar Langit Biru - Bab 6

BAB  6: SALAHKAH AKU?




"Confirm ke awak nak balik ke Bangkok besok?" Anas melontarkan soalan cepumas kepadaku. Kami jalan beriringan ke Siem Reap Night Market yang terletak agak jauh dari hotel kami. Malam ini rambut Anas terikat di paras tengkuk. Sekali sekala aku terbau haruman sabun dari badannya. Aku cuma berharap peluh badanku tak berbau busuklah sebab jauh juga perjalanan pergi pulang ke hotel. Boleh tahan basah ketiak dibuatnya.

"Confirmed. Saya dah book dah van balik ke Bangkok dengan kaunter hotel kita petang tadi."

Kalau ikutkan hati, aku tak mahu balik. Tak mahu berhadapan dengan realiti. Takut nak jumpa bos, kawan-kawan sekerja, mak ayah, takut dengan Isa. Takut kecaman. Takut lemah. Segalanya takut.

"Oh ye ke? Pukul berapa awak akan bertolak?"

"Pagi. Selepas Subuh mungkin."

Diam. Tiada soalan susulan.

Adakah Anas sedih bila aku sudah pulang nanti?

Kami ralit memilih makanan gorengan apabila terjumpa satu gerai halal. Tawakal sajalah yang gerai ini memang menjual makanan halal. Si penjual pun adalah wanita bertudung. Mungkin mereka adalah orang Islam Cham. Kami memilih untuk makan sambil meronda di sekeliling pasar malam di sini.

“Anas, nanti bila balik Malaysia, awak jangan lupakan saya ya?” 

Pintaku kepada Anas sambil kami mencuci mata di pasar malam. Tidak ada bezanya di antara pasar malam di sini dan di Malaysia. Mungkin aku akan membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang ke Malaysia. Ada beberapa jenis kraftangan tempatan di sini yang sesuai untuk dijadikan buah tangan.

“Ya, insya-Allah. Sedih juga bila awak nak tinggalkan saya seorang ni. Saya tak sangka pun sebenarnya trip saya ni ada teman."

Riak wajahnya sedikit berubah. Bukan lagi seorang Anas yang tenang. Aku melihat dia mengusap-usap belakang tengkuk. Tak tahu apa yang bermain di fikirannya.

Alahai hati... cepatnya kau rasa kasihan pada orang. Yang penting jangan jatuh cinta pulak!

"Rajin-rajinlah hantar text whats-app, hantar gambar bila awak sampai di tempat baru." Anas mengangguk-angguk mendengar kataku. 

"Awak kena kuatkan semangat. Walaupun saya tidak tahu sangat apa masalah awak, tapi awak jangan putus asa.” Nasihat Anas kepadaku. 

“Awak nak dengar masalah saya?” tiba-tiba aku bertanya. 

Aku sendiri terkejut dengan soalan yang keluar dari mulutku. Apakah aku rasa serasi dengan Anas jadi aku mudah mahu meluahkan perasan? Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata teruskanlah sahaja.

“Kalau itu yang boleh membuatkan awak rasa lega.” Jawab Anas pendek. Dia melangkah pendek-pendek seolah-olah mahu kami lambat tiba ke hotel kami. Aku turut mengikut rentak langkahnya.

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan penceritaanku.

"Saya baru lepas break-up." Aku memulakan kata.

"Ya, awak ada bagitahu waktu kita makan malam semalam." Oh ya, kenapa aku boleh terlupa pula.

“Kami dah kawan lama. Sejak kami di matrik lagi sudah bercinta. 4 tahun bercinta, tapi putus di tengah jalan."

"Kenapa?" ada nada prihatin pada soalan Anas.

“Sayangnya, semenjak kami mula bekerja, masing-masing mula sibuk. Akhirnya kami buat keputusan untuk berpisah.”

“Teruskan.” Pinta Anas.

“Walaupun kami dah berpisah, tapi memandangkan kami dah terlalu rapat jadi kami masih berhubung seperti biasa. Cuma tidaklah sekerap sewaktu belajar dulu. Sehinggakan saya langsung tidak dapat syak yang dia sudah ada perempuan lain.” 

Aku terdiam sebentar. Cuba mencari ayat yang sesuai untuk meneruskan bercerita. Anas mengambil peluang untuk bertanya.

“Maksud awak, dia ada kekasih selepas awak berdua berpisah?” 

Soalan ringkas daripada Anas membuatkan langkahku terhenti. Anas turut berhenti. Aku memandang Anas dengan pandangan penuh membara seperti naga mahu menerkam mangsa. Darahku membuak-buak hingga terasa denyutan di kepala. Soalan Anas seolah-olah Anas mahu menyalahkan aku, dan akulah sebenarnya penjahat dalam ceritaku sendiri. Tiba-tiba aku jadi tak waras dan mula marahkan Anas.

“Awak tak faham! Dia tak pernah berterus terang dengan saya yang dia sudah ada orang lain. Kami berkawan seperti kami tak pernah berpisah. Dia bilang cinta, rindu pada saya. Jadi sayakah yang bersalah dalam hal ni?"

Airmataku mencurah laju ke pipi sebaik saja aku habis berkata-kata. Denyutan di kepala bertambah kuat. Mata semakin kabur. Dada terasa sesak, susahnya mahu mencari senafas. Aku tak pasti apa yang terjadi selepas itu.



No comments:

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...