Mengejar Langit Biru - Bab 8

 BAB  8 : ADAKAH LEBIH BAIK AKU TIADA?



Jenazah ayah Nadhira selamat dikebumikan selepas Asar. Aku meminta izin untuk bertolak pulang ke KL sebelum jenazah dikebumikan, kononnya supaya tak terlewat sampai ke rumah. Perjalanan Ipoh – KL kalau tak jem mungkin 4 jam perjalanan baru aku sampai ke rumah.

Sebenarnya aku tak tahan berlama-lamaan bersedih dengan Nadhira. Bila aku beritahu yang aku mahu pulang, dia senyum saja.

“Aku faham El. Kau pun mesti belum cukup bertenang lagi kan. Aku tak paksa kau untuk sama-sama bersedih dengan aku.” Dan kedua-duanya berjurai airmata buat kesekian kali.

Sepanjang aku memandu pulang ke KL, ingatanku teringat kembali waktu aku tiba di rumah Nadhira. Sebaik saja aku menjejakkan kaki ke rumahnya, dia terus menerpa dan memelukku erat.

“Aku dah tak ada ayah, El.” serentak dengan kata-kata Nadhira, kami sama-sama menangis. Aku melihat ibu Nadhira turut mengelapkan airmatanya yang tumpah dengan hujung tudung bawal, sebak melihat kami berpelukan dalam tangisan. Nadhira kemudian mengajak aku duduk di ruang tamu, sementara dia melayan tetamu yang hadir.

Bagai dicubit peha kiri, peha kanan yang terasa pedihnya. Airmata aku sendiri tak henti-henti mengalir sehinggalah aku pulang. 

“Allah uji aku hilang ahli keluarga, hilang satu-satunya ayah yang aku ada, Allah ambil terus dari aku. Kau kena sama-sama kuat dengan aku El, kita kena sama-sama belajar redha menerima qada’ dan qadar.” Sempat pula Nadhira memberi nasihat padaku. 

Isa masih hidup, dia belum mati. Tetapi kalau kehilangan orang hidup itu lebih sakit, lebih baik aku ataupun Isa yang mati. Supaya salah satu dari kami dapat meneruskan hidup, bukan sekadar hidup seperti mayat - mati tak mahu hidup pun segan.

Aku teringat tazkirah di radio Ikim.fm tentang kematian.


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12)


Matinya seseorang bererti terputuslah segala amalan seorang manusia. Amalan yang membezakan sama ada syurga atau neraka pengakhiran kita. Hanya amalan yang cukup dan sempurna, yang cantik saja sesuai untuk dipersembahkan kepada Allah SWT sebagai permohonan kita untuk memasuki syurgaNya.

“Bersediakah kita untuk transisi diri dari dunia sekarang ke dunia barzakh? Bersediakah diri kita, dah dipersiapkankah diri kita untuk ke dunia barzakh? Ketahuilah kita, bahawa ketauhidanlah yang menyebabkan hati kita percaya kepada Allah. Tauhid yang membuatkan kita yakin bahawa setiap masalah yang ada di dunia ini akan dapat diselesaikan, kerana Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Ketauhidan kita kepada kuasa Allah yang Maha Mengetahui itulah yang membuatkan kita percaya segalanya akan okay.”

Cukupkah ketauhidan aku pada Allah? Cukupkah iman aku untuk dibawa ke akhirat? Cukupkah amalanku selama ini?

Ataupun lebih baik aku mati saja dan biar Allah yang menentukan segalanya?

Tiba-tiba cahaya kereta di depan memancarkan silau tinggi dan aku terkebil-kebil tidak dapat melihat jalan di hadapan.

No comments:

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...