Mengejar Langit Biru - Bab 2

 BAB  2 : TEMAN BARU




“Awak okay ke?” 

Terasa ada jari mencucuk di kepala lututku. Aku tersentak. Mataku membulat ke arah tuan punya jari yang mencucuk lututku.

“Awak okay ke?” 

Sekali lagi aku ditujukan soalan yang sama. Mataku tidak berkedip melihat susuk tubuh di hadapanku yang kini menunjukkan jari telunjuknya ke arah matanya. Aku sedikit berkerut. Tak faham apa yang cuba disampaikan.

“Tu.. kat mata awak tu, kat pipi tu.. awak menangis ke?” 

Akhirnya dia berterus terang bertanya. 

Aku sedikit tersentak. Bila masa aku menangis? Sedikit pun aku tak sedar. Cepat-cepat aku menarik sedikit hujung lengan baju kanan dan mengesat airmata di pipi. Hujung mata aku tonyoh bagi membuang bukti airmata jatuh. Cis! Jatuh keegoaan aku menangis depan orang asing, lelaki pula tu.

Sambil aku membersihkan pipi dan hidung kalau-kalau ada air hidung yang turut keluar dengan lengan bajuku, aku memerhatikan lelaki yang berada di hadapanku. Matanya masih tidak lepas memandangku.

Dia senyum. Aku pun tersipu-sipu membalas senyumannya. 

Matanya jenis kuyu, ditambah pula dengan rambutnya yang lurus dan sedikit panjang sehingga menutupi sedikit mata kanannya, panjangnya jatuh melepasi bahu. Aku rasa rimas melihat rambut di matanya, rasa mahu saja memotong rambut tersebut ataupun meminjamkan cekak rambut padanya. 

Aku telek-telek mukanya dan menganggarkan umurnya sekitar penghujung dua puluhan, ataupun awal tiga puluhan. Sebabnya dia berkumis nipis dan ternampak garis kedutan di sekitar matanya. Tentu orangnya jenis pemurah senyuman. Pakaiannya kemas, memakai t-shirt lengan pendek berwarna kelabu bersama jeans berwarna biru tua, dan sandal. Di sisinya terdapat beg sandang Karrimor berwarna hitam bersaiz sederhana. Amboi, sebegitu tekun sekali aku memerhatikannya walaupun sekadar jelingan di hujung mata.

Matanya masih padaku, memerhatikan gerak geriku. Aku jadi segan. Aku berdehem kemudian membetulkan letak punggungku.

“Dah lama ke keretapi bergerak?” aku cuba memecahkan kesunyian. Dia tergelak. 

“Dah lebih sejam keretapi bergerak. Saya ada tegur awak sewaktu mula keretapi bergerak, tapi nampaknya awak seperti sedang berkhayal. Maaflah ya, saya terpaksa tegur awak tadi sebab saya nampak awak dah lama menangis.” 

Panjang lebar dia menjawab. Adakah dia seorang cikgu? Seorang cikgu memang ada ciri-ciri suka menjawab dengan panjang lebar.

Aku tersengih, cuba menutup rasa malu. Lengan baju kembali kukesatkan ke pipi, manalah tahu kalau masih ada sisa airmata lagi yang tertinggal. Serba salah dibuatnya. Perlukah aku menjawab soalannya tadi bahawa aku okay atau tidak? Aku memutuskan untuk terus diam dan memandang ke luar keretapi. 

“Rasanya kita nak sampai kat Padang Besar ni.” 

Lelaki tadi tiba-tiba bersuara. Dia memberi isyarat kepadaku untuk bersedia dengan beg.

Sejurus kemudian, keretapi pun berhenti. Kami bersama-sama penumpang lain turun ke stesen Padang Besar bagi urusan imigresen untuk memasuki Thailand. Ada yang membawa beg bersama, ada yang meninggalkan beg mereka di kerusi masing-masing. Aku agak seriau untuk meninggalkan beg di kerusi, takut barang-barangku hilang pula nanti.

Turun saja daripada keretapi, kami diarahkan berbaris sebelum memasuki pejabat imigresen. Aku memerhatikan sekeliling dan melihat orang tidak terlalu ramai. Mungkin sebab hari ini bukan hari minggu. Kami menuju ke kaunter kecil di sebelah kaunter imigresen dan masing-masing mengisi borang kemasukan ke Thailand. Terdapat dua borang yang perlu diisi iaitu Arrival Card dan Departure Card. Borang tersebut akan diperiksa oleh pegawai imigresen, dan Departure Card perlulah disimpan rapi sehinggalah waktu keluar dari Thailand nanti.

Selesai urusan di imigresen, aku segera keluar dari pejabat tersebut untuk kembali ke keretapi. Tetapi keretapiku tidak kelihatan, yang tinggal hanyalah landasan kosong! Aku tenyeh-tenyehkan mataku dan melihat ke landasan keretapi sekali lagi.

Ya, memang betul. Keretapi sudah tiada. Aku dah kena tinggal!

Tiba-tiba bahuku terasa dicuit. Aku menoleh melihat siapa yang mencuitku dan tersenyum lega melihatkan lelaki tadi. Lega kerana dia masih ada di sini, dan ini bermakna keretapi bukan tinggalkan aku seorang! Dia mengisyaratkan supaya aku mengikutnya. Kami menaiki tingkat satu dan menuju ke gerai makanan. Aku melihat beberapa pekerja di gerai tersebut memakai tudung, maka aku yakin gerai ini menjual makanan yang halal.

Tanpa meletakkan beg, kami terus memilih lauk-pauk yang terhidang. Aku memilih lauk sekadarnya, semata-mata mahu mengalas perut supaya tidak lapar di waktu malam. Seleraku makanku masih belum ada, cukuplah sekadar makan untuk tidak sakit dan mati saja.

Kami duduk semeja untuk menjamu selera. Pinggannya penuh nasi berlaukkan ayam masak merah dan sayur. Berselera aku melihat dia menyuapkan nasi ke mulutnya. Manakala aku terkuis-kuis nasiku yang berlaukkan telur mata berkuah kicap pedas.

Kami menjamu selera dengan suasana yang sepi. Masing-masing senang melayan setiap suapan tanpa rasa terpaksa untuk memecahkan sepi. Selesai menjamu selera barulah aku berani untuk berbasa-basi dengan lelaki tersebut.

“Nama saya El, dari Selangor.” 

Kami selesai menjamu selera dan mula beratur di hadapan trek keretapi. Aku lihat sudah ramai yang sudah menunggu ketibaan keretapi Thailand. Aku agak berdebar sebenarnya bila menaiki keretapi ini. Terasa seperti menaiki bas, perasaan takut kalau-kalau terlepas stesen.

“Saya Anas.” jawabnya pendek.

“Awak dah biasa travel seorang ke?” 

Aku takut-takut mahu menjawab. Bukankah ada yang berpesan, perempuan haruslah berhati-hati sekiranya berjalan seorang diri. Jangan berani mengatakan kita adalah berseorangan, beritahu saja yang kita ada teman lain yang menanti.

“Er.. setakat ini saya masih seorang. Tapi nanti ada kawan yang akan teman di Bangkok.” 

Aku teragak-agak menjawab soalan Anas. Dia nampaknya seperti lelaki yang baik, Adakah aku boleh percayakan dia? Ah, tapi lelaki semuanya kan sampah? Di sudut hatiku, aku sempat mengutuk kaum lelaki.

Kami menaiki keretapi sebaik saja keretapi tiba, dan kembali ke tempat duduk kami. Waktu inilah baru aku sempat memerhatikan keadaan di dalam keretapi. Keretapi Thailand adalah sedikit berlainan daripada keretapi KTM Malaysia. Pada mulanya aku agak hairan apabila nombor tiketku merupakan tempat duduk, sedangkan aku membeli tiket bagi koc katil. Rupa-rupanya tempat duduk ini nanti akan dibuka lipatan dan dijadikan katil pada waktu malam atau dibuka bila diminta oleh penumpang. Jam di tanganku menunjukkan sudah pukul 8 waktu Malaysia, bermakna baru pukul 7 di Thailand. Ada beberapa kerusi sudahpun dibuka lipatan dan dijadikan katil atas permintaan penumpang yang mahu berehat.

Perjalanan dari Butterworth ke Bangkok memakan masa enam belas sehingga dua puluh jam. Kami dijangka akan tiba di Bangkok pada pukul 10 atau 11 pagi waktu Thailand, pada keesokkan hari.

Puas memerhatikan sekeliling, mataku memerhatikan pula Anas yang berada di hadapanku. Kerusi kami masih belum dibuka lipatan, dan aku pun masih senang duduk di kerusi sebegini berbanding berbaring sepanjang perjalanan. Anas sedang sibuk menulis sesuatu di buku nota kecilnya. Sekilas ingatanku teringat kepada ayah. Ayahku sentiasa membawa buku nota kecil, dan sentiasa menulis. Entah apa ayah tulis, aku tak berani hendak mengambil tahu. Aku pernah dimarahnya jangan menyibuk mahu tahu apa yang ditulis, jadi sejak itu aku tidak pernah lagi mengambil tahu notanya. 

“Anas, boleh saya tanya?” Anas mengangkat kepala dari buku nota. 

“Boleh saya tahu, kebiasaannya awak tinggal hotel di mana ya bila di Bangkok? Saya belum tempah mana-mana hotel untuk bermalam. Awak ada cadangan untuk bermalam di mana?”

Anas menganggukkan kepalanya perlahan. 

“Hm, macam ini ya  El… saya biasanya bermalam di dorm. Sebab saya backpacker jadi bajet saya kebiasaannya terhad.” Dia tersengih kemudian menggaru belakang lehernya. Mungkin tiba-tiba ada nyamuk yang singgah di belakang lehernya.

“Ini baru kali kedua saya ke Bangkok, bukanlah biasa sangat. Dan tujuan saya ke Bangkok kali ini ialah untuk ke Aranyaprathet, sebab saya mahu masuk ke Cambodia melihat Angkor Wat. Jadi, saya cuma akan bermalam di Bangkok satu malam saja. Saya akan tinggal di hostel yang berdekatan dengan stesen keretapi supaya senang saya menaiki keretapi ke Aranyaprathet. Kalau awak berminat, jomlah bermalam di hostel yang sama dengan saya.” 

Panjang lebar dia menjawab. Hati kecilku kuat mahu bertanya dan meneka pekerjaannya sebagai seorang guru, tapi nanti dikata tidak beradab pula. Baru berkenalan, sudah mahu tahu kerja apa.

Aku tidak segera memberikan respon terhadap jawapan Anas. Info yang baru aku terima agak sukar untuk aku proses dalam masa yang singkat. 

Aranyaprathet? Angkor Wat? Tidur di hostel?

"Malam ni saya fikir dulu ya.." ringkas aku memberi jawapan kepada Anas.

Aku meminta izin supaya kerusi kami dibuka lipatan dan dijadikan katil untuk aku berehat. Sekali lagi aku memilih katil di atas kerana harganya yang murah. Maka terpaksalah aku bersusah payah memanjat katil di atas pada waktu keretapi bergoyang.

“Nanti tidur malam jangan menangis ye.” Anas sempat memerliku.

Kurang asam kau. Tak janjilah ya tak nangis.

***

Mengejar Langit Biru - Bab 1

 BAB 1 : LARI




Airmata mengalir lagi buat kesekian kali. 

Sambil mengesat air mata dengan belakang tangan kanan, aku membuka laci meja belajar. Dari dalamnya, aku mencari buku merahku dan segala dokumen yang berkaitan seperti sesalinan kad pengenalan, sesalinan pasport dan gambar berukuran pasport sebanyak dua keping. Semuanya itu memang aku simpan rapi di dalam laci tersebut, jadi aku cuma perlu mengambil dan memasukkannya ke dalam poket  beg selimpang lusuhku yang berwarna biru cair. Dompet kosong berwarna hitam yang memang aku sentiasa gunakan kalau melancong, turut aku keluarkan dari laci tersebut kemudian aku memasukkan duit kertas berwarna biru sebanyak 10 keping, sambil membuat mental note untuk menukar duit di KL Sentral nanti. Beg selimpang  aku kelobek pula untuk melihat apa yang sudah aku masukkan, dan apa yang belum. 

Selesai.

Aku beralih ke beg sandangku, jenis Deuter 40L+10L berwarna hitam berselang hijau tahi lembu. Pakaian, ubat-ubatan yang berkaitan, telekung travel dan micro-fibre towel sudah kusumbatkan ke dalam beg itu tadi. Aku duduk sebentar di hujung katil seraya menarik nafas. 

Tak... aku tak nak fikir sama ada apa yang aku buat ini betul atau tidak. Aku nak terus pergi... 

Air mata berjurai lagi tanpa ditahan-tahan. 

Aku bangkit dari katil dan lekas bersiap. Sekadarnya sahaja, aku menyarung t-shirt polos lengan panjang berwarna ungu, seluar jeans, sepasang stokin dan tudung sarung bercorakkan bunga kecil berwarna ungu dengan latarnya putih. Sesudah itu aku menyandangkan beg sandang dan beg selimpang di bahuku, kemudian melihat ruang bilik aku buat kali terakhir kalau ada lagi barang-barang yang tertinggal.

Power bank. Checked. 

Camera. Checked.

Lonely Planet’s travel guide: Southeast Asia in a shoestring. Checked.

Passport. Duit. Checked.

Setelah memastikan semua suis elektrik sudah dipadamkan dan tingkap sudah ditutup, aku pun keluar daripada bilik dan menuju ke bilik adik lelakiku, mengejutkan dia dari tidur petang dan meminta jasa baik dia untuk menghantarkan aku ke stesen komuter Kajang. Sekilas aku melihat jam menandakan sudah pukul 5.00 petang. Ternyata keputusan aku melarikan diri pada waktu ini nampaknya seperti tidak tepat.

Aku ke halaman rumah sementara menunggu adik lelakiku bersiap, tetapi terlihat pula mak dan ayah yang sedang duduk santai di gazebo di hadapan rumah sambil menikmati minum petang. 

Ah! Kantoi… Aku ingatkan dapatlah aku meloloskan diri daripada mak dan ayah, bila sudah di KL Sentral nanti barulah aku memaklumkan pada mereka tentang pemergianku. Betullah firasatku bahawa melarikan diri pada waktu ini memang sangat tidak bijak. Mak cepat saja menangkap kelibat aku.

“El nak ke mana?”

“Bangkok.” Aku membalas perlahan.

“Jangan main-main.” Mak membalas dengan suara keras.

“Betullah.” Aku memjawab sambil mata menunduk memandang ke kasut sukanku berwarna biru. Takut-takut nanti aku mengalah dengan mak dan tak jadi melarikan diri.

“Kenapa tiba- tiba ni, El? Kalau ada masalah, bincanglah elok-elok.” Ayah pula bertanya. 

Namun belum sempat aku menjawab, adik aku sudah terpacul di muka pintu rumah. Aku segera membontoti adikku menaiki keretanya.

“Nanti dah sampai sana El telefon.” Suaraku agak serak menahan tangis. 

Maafkan El, mak dan ayah. Maaf El tak sempat nak cium tangan mak dan ayah…

Dalam perjalanan ke stesen komuter Kajang, ayah menelefonku dan sekali lagi bertanya adakah aku mempunyai sebarang masalah. Aku enggan mengatakan perkara sebenar dan memberitahu ayah yang aku mempunyai masalah di pejabat. Aku sempat berjanji untuk memaklumkan yang aku akan menghubungi ayah bila sudah tiba di Bangkok. Aku tak mampu untuk berkata-kata lebih lanjut dek kerana menahan sedu.

Perjalanan dari rumah ke stesen komuter Kajang, seterusnya dari stesen komuter Kajang ke stesen KL Sentral terasa kabur. Aku bagaikan di awangan, ataupun seperti zombie, bergerak seperti auto-pilot. Fikiranku tak mampu berfikir lagi, dan airmata pun sudah kering. Tahu-tahu saja aku sudah tiba di stesen KL Sentral.

Tempat pertama yang aku tuju setibanya di KL Sentral ialah kaunter keretapi KTM Antarabandar yang terletak di Tingkat 2. Aku diberikan nombor giliran untuk berurusan di kaunter. Sementara menunggu nombor dipanggil, aku duduk di kerusi sambil memerhati sekeliling. Orang tidak berapa ramai, mungkin kerana hari ini adalah hari bekerja. Jam di dinding menunjukkan sudah hampir jam 7.00 malam, bermakna waktu solat Maghrib hampir masuk. Aku segera berniat untuk melakukan solat jamak taqdim.

Aku menarik nafas panjang melepaskan lelah. Letih. Malam tadi rasanya tidak sepicing pun aku dapat melelapkan mata. Walaupun aku hanya terbaring dari malam tadi sehinggalah tengahari tadi apabila aku membuat keputusan mahu ke Bangkok, tapi masaku dihabiskan dengan menangis tanpa henti. Bayangan peristiwa yang terjadi semalam bermain-main di fikiranku. Aku pejamkan mata kuat-kuat bagaikan mahu membuang imej tersebut. Tidak lama kemudian nombor aku dipanggil untuk ke kaunter. Aku meminta tiket ke Bangkok.

“Bangkok tak ada tiket terus dari sini, dik. Saya buat connecting trains, boleh?” ujar petugas lelaki di sebalik kaunter. 

“Maksudnya macam mana tu ya?” Tanya aku lurus bendul. 

Itulah, orang nak keluar negara, belajarlah dulu selok belok yang betul. Ini tidak, main redah saja. Kalau ditipu pun, belum tentu ketahuan. Buku Guide Lonely Planet yang kupikul di dalam beg sebenarnya belum habis dibaca pun lagi.

“Maksudnya begini, dik. Saya akan buat dua tiket. Satu tiket dari sini ke Butterworth pada malam ini. Tiket satu lagi adalah dari Butterworth ke Bangkok pada besok petang.” petugas tersebut tenang menerangkan satu-persatu kepadaku. 

Aku mengangguk-angguk faham dan setuju. Petugas tersebut memberitahu bahawa koc katil masih mempunyai kekosongan. Maka aku memilih koc katil di sebelah atas kerana lebih murah berbanding katil di bawah. Bayaran dibuat dan tiket bertukar tangan. Selesai perkara pertama. 

Seterusnya aku perlu menukar duit ringgit Malaysia ke matawang Thailand iaitu Thai baht. Aku ke kedai pertukaran wang yang terletak di Tingkat 1. Nilai tukaran wang di KL Sentral agak tinggi berbanding daripada kebiasaan aku menukar wang di Midvalley atau Sunway Piramid, tapi untuk kali ini aku tidak mempunyai pilihan lain. Sama ada nilai ini ataupun tiada wang baht langsung, yang mana aku tidak berani mengambil risiko tidak mempunyai wang baht yang mencukup bila tiba di Thailand nanti. Selesai perkara kedua.

Aku menuju ke McDonald’s bagi mengisi perut sedikit. Seingat aku, makanan terakhir yang aku makan adalah pada waktu makan malam semalam. Ini bermakna sudah seharian aku tidak menjamah sebarang makanan. Tapi perutku tidak berasa lapar. Mungkin inilah maksudnya perut kenyang kerana makan hati.

Kaunter di McDonald’s sentiasa penuh, tapi aku tidak menunggu lama. Aku membuat pesanan dan kemudiannya memilih untuk duduk di tempat yang agak terperosok ke dalam, supaya aku tidak terserempak dengan sesiapa yang mengenaliku. Seperkara yang aku suka lakukan di saat aku bersendirian sebegini ialah memerhatikan keadaan sekeliling dan orang sekitar. Satu latihan minda bagiku bagi mengelakkan aku kembali berasa sedih.

Mataku melilau memerhatikan keadaan di dalam KL Sentral. Orang berpusu-pusu ke sana ke mari dan semuanya berjalan dengan pantas. Mungkin kerana mahu mengejar keretapi tiba. Mahu tiba di rumah seawal mungkin dan berehat sepuasnya di samping keluarga tersayang. Ada sedikit rasa ngilu di dada bila mengingatkan keluarga. Aku rasa berdosa pada mak dan ayah kerana berbuat perangai bodoh sebegini. Tapi inilah aku, hanya tahu memberontak tapi tidak pandai meluahkan apa yang terpendam di hati. 

Aku menggelengkan kepala mengenangkan perangaiku sendiri. Perlahan-lahan aku membuka bungkusan McChicken sambil membebelkan diri sendiri. 

Siapalah yang boleh tahan dengan perangai kau, El? Sebab itulah ada pakwe pun, ditinggalkan.

Telefon bimbit di kocek seluar dikeluarkan. Jari jemari aku segera menaip dan menghantar pesanan ringkas melalui Whatsapp.

“Ira, aku kat KL Sentral ni. Malam ni aku gerak pergi Bangkok. Kau rajin tak? Jumpalah aku sebelum aku pergi, aku nak pinjam baju sejuk kau lah. Aku terlupa bawa.”

Entah macam mana, aku baru tersedar bahawa hari ini adalah hari Jumaat. Hari bekerja. Ini bermakna aku telah memontengkan diri dari hadir ke pejabat pada hari ini. Aku segera menghantar whatsapp kepada majikanku, memohon maaf kerana tiba-tiba tidak hadir dan memaklumkan bahawa aku mempunyai perkara kecemasan. Aku turut memohon cuti tanpa gaji selama seminggu. Aku tahu aku bersikap tidak profesional dalam hal ini, tapi aku tidak mempunyai apa-apa justifikasi yang lebih baik untuk diberikan. Nantilah, selesai serabut kepalaku nanti aku akan berbincang dengan majikan, fikirku.

Jam sudah menunjukkan pukul 8. Baru teringat yang aku belum menunaikan solat, sedangkan tadi sudah berniat solat jamak taqdim. Malas-malas aku mengangkat punggung dan menyeretkan kaki menuju ke surau. Fikiranku betul-betul berkecamuk. Sudahlah hatiku kecewa, ditambah lagi dengan rasa bersalah terhadap orang lain yang aku rasa telah menyusahkan mereka. Sakit kepala jadinya. 

Tiba-tiba telefon aku berbunyi bertalu-talu tanda notifikasi dari whatsapp.

Ok, bukan dari majikanku. Fuh, aku menarik nafas tanda sedikit lega. Tidak mengapa, masalahku dengan majikan aku akan selesaikan kemudian. Bukan sekarang, tetapi nanti. Pulang dari Bangkok nanti. Aku melihat notifikasi yang lain pula.

“Kau dah kenapa tiba-tiba nak ke Bangkok? Aku datang sekarang, kau tunggu di sana okay. Jangan pergi selagi aku belum sampai!” Whatsapp dari Nadhira. Dia yang kupesan tadi supaya membawa baju sejuk.

“El! Kenapa Ira bagitahu aku yang kau akan ke Bangkok malam ni? Ni betul-betul atau main-main?” Whatsapp dari Hannah. Ini tentu Nadhira dah hebohkan pada teman aku yang seorang ni. Aku tersenyum. Ada orang masih kisahkan tentang kau, El.

“Kau kat mana sekarang?” Whatsapp dari Isa. Sekilas dendamku terhadapnya membara. Cepat-cepat aku simpan kembali telefon di dalam kocek seluar. Sebal di hati masih tebal, Is!

***

“Elina!"

Aku segera melihat ke arah tangga yang terletak di tengah-tengah KL Sentral, tangga dari tingkat bawah menaiki tingkat satu. Dari jauh aku sudah dapat mengagak tuan badan yang memanggil namaku. Nadhira rupanya. Dia datang seorang diri dan berjalan melenggang kangkung. Tentulah dia tidak membawa baju panas seperti yang aku pesan. 

Aku bingkas bangun dari kerusi sambil tersengih-sengih berjalan ke arahnya. Dari jauh aku melihat dia pun tersengih sama sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku segera mendepangkan tanganku dan memeluknya sebaik saja kami berhadapan. Tak semena-mena air mata aku mengalir laju. 

Selesai berpelukan, aku mengajak Nadhira duduk di kerusi menunggu. Aku tiba-tiba berasa segan dan janggal berhadapan dengan Nadhira. Walaupun dia adalah kawan baikku, tapi aku tak pernah sesekali bercerita tentang hubungan aku dengan Isa padanya. Dia mungkin tahu, tapi dia tak pernah bertanyakan lebih-lebih padaku tentang hubungan kami. Dialah orang yang aku tidak pernah berkongsikan cerita bahagia aku dengan Isa selama ini, tetapi dialah orang yang hadir di saat aku memerlukan semangat di saat hatiku lemah.

“Kau kenapa Elina?” Mukanya jelas menunjukkan kerisauan, dalam masa yang sama tersengih-sengih. Agaknya memikirkan apalah kerja gila yang kawannya hendak lakukan ini.

“Mak ayah kau cakap apa tentang kau ni?” sekali lagi aku menyeringai menelan pahitnya soalan Nadhira.

Aku sebenarnya tak tahu bagaimana mahu menceritakan kenapa aku membuat keputusan untuk lari ke Bangkok. Fikiran aku menerawang menceritakan serba sedikit kepadanya, sambil aku cuba menahan air mata dari tumpah. Aku tidak pasti sama ada Nadhira faham atau tidak tentang apa yang aku cuba sampaikan. Hakikatnya, tiada alasan kukuh aku melarikan diri melainkan semata-mata kerana putus cinta.

“Tenangkanlah fikiran kau tu. Yang penting, hati-hati di tempat orang.” Nadhira sempat berpesan. Dia langsung tidak menghalang aku untuk ke Bangkok. Malah, dia yang seronok mahu melihat bagaimana rasanya menaiki keretapi KTM Antarabandar yang mempunyai katil. Nadhira menunggu sehinggalah aku keretapi aku bergerak tepat pada jam 11.15 malam. 

Ah, kawan! Murninya hatimu. Terima kasih kerana berada di sampingku di saat aku memerlukan seseorang.


Suasana di dalam koc keretapi KTM Antarabandar agak sunyi. Mungkin kerana ini adalah koc malam yang mana masing-masing pun cuba untuk tidur dan membuat hal sendiri. Langsir yang berada di setiap katil kebanyakannya tertutup rapat. Yang kelihatan cumalah selipar atau kasut di bawah katil masing-masing. Memandangkan aku dah memilih katil yang murah yang berada di atas, aku terpaksa memanjat tangga untuk ke katilku.

Setiap katil akan mempunyai tingkap masing-masing. Jadi setelah aku memanjat katil, aku menyelak langsir di tingkap dan cuba mencari Nadhira dan melambainya. Sayu hati seolah-olah ini kali terakhir aku akan berjumpa dengannya. Kami berbalas pandang sehinggalah keretapi mula bergerak.

Keretapi mula bergerak laju menembus kegelapan malam. Dan aku tercangak seorang diri. Mati kutu tidak tahu mahu buat apa.

Langsir di tingkap aku buka seluasnya, mahu melihat apa yang ada di luar sana. Gelap gelita. Satu pun tak ternampak dek mata kasar kecuali cahaya dari lampu di tepi landasan keretapi. Tapi aku cuba layankan juga mata melihat ke luar tingkap. Termenung memikirkan apa sebenarnya yang terjadi, yang menyebabkan aku membawa diri dan melarikan diri.

Telefon di kocek seluar aku keluarkan dan segera memeriksa pesanan Whatsapp. Satu-satu aku membalas mesej yang aku terima dari petang tadi.

“Ira, terima kasih datang tadi, Aku perlukan semangat kau. Doakan aku selamat, ye?”

“Hannah, yesss aku dah dalam keretapi untuk ke Butterworth. Besok aku akan naik keretapi untuk ke Bangkok pula. Ira beritahu kau ke? Doakan aku selamat, ye?”

“Mak, ayah.. El dah naik keretapi ke Butterworth. Besok petang El akan naik keretapi ke Bangkok pula. El janji akan telefon sebelum bertolak ke Bangkok. Maafkan El…”

“Is, aku dah tak ada. Puaslah hati kau dapat buat aku hilangkan diri dari hidup kau, kan?”

Telefon kucampakkan ke hujung kaki. Aku menghempaskan kepala ke bantal dan bantal mula basah dengan airmataku yang tak berhenti mengalir sepanjang malam.

***

Aku terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi bising. Rupanya konduktor keretapi bergerak dari satu koc ke satu koc yang lain dan membuat pengumuman bahawa keretapi akan tiba di stesen Butterworth, stesen yang terakhir. Semua penumpang perlu turun di stesen ini.

Aku terpisat-pisat melihat jam di tangan. Baru pukul 5 pagi. Aku ingatkan aku dah terlepas waktu Subuh.

Aku segera mengambil beg-beg yang berada di hujung kaki katil dan berhati-hati turun daripada katil. Bahaya juga bila cuba turun dari katil pada waktu keretapi bergerak. Aku menumpang duduk di katil bawah sementara menunggu keretapi berhenti.

Otakku masih berputar cuba mencari graviti dan mencerna bagaimana meneruskan perjalanan bila tiba-tiba orang mula berpusu-pusu keluar daripada kereta. Aku pun turun membontoti mereka mencari jalan keluar menuju ke stesen dan langsung ke surau bagi menunggu waktu Subuh.

Tempat ini agak asing untuk aku yang tak pernah ke luar daerah secara berseorangan. Ya, entah bagaimana aku baru tersedar yang inilah pertama kali aku berjalan secara solo.


***

PROLOG : Mengejar Langit Biru

PROLOG : RASA ITU ANEH



Rasa cinta itu adalah satu perasaan yang aneh.

Pada mulanya rasa cinta itu manis dan bahagia.
Satu hari hati kamu terasa penuh.
Terasa ada sesuatu yang menghuni di dalam jiwa
Yang kamu tidak pernah tahu kamu perlukannya.

Rasa yang membuatkan kamu merasa lengkap, 
dan membawa erti hidupnya seorang kamu.

Sedangkan hidup kamu sebelum itu sudah cukup sempurna
Hati yang tidak pernah rasa sepi,
hati yang mampu tersenyum dan gembira
tanpa mengetahui alangkah nikmatnya rasa jatuh cinta.

Rasa cinta adalah seperti bunga yang mekar
Benarlah bila dikata, hati yang merasa gembira adalah hati yang berbunga-bunga
Kerana waktu hati merasa cinta,
hati itu seperti berkembang, mekar bak bunga segar

Rasa itu lebih mekar
Bila rasa yang dirasai
Berbalas rasa dengan si dia
Hati baru faham wujudnya kebahagiaan lain
Selain yang kamu rasai selama kamu hidup.

Tapi merasa cinta itu juga suatu perkara yang kejam.
Punya perasaan itu suatu yang kejam.

Hanya kerana hati kamu pernah merasa penuh
kamu berterusan mengharap ianya sentiasa penuh
Penuh dengan rasa kasih dan harapan.

Kemudiannya apabila harapan terbinasa,
Rasa kasihmu termusnah
Hatimu jadi gersang, kering dan kontang
Kosong.

Kamu tidak mampu lagi menjadi kamu
Seperti sebelum kamu mengenal apa erti jatuh cinta
Kamu bukan lagi kamu yang dulu
Pandanganmu ada satu pandangan
Merenung kosong ke depan.

Kamu tahu bahagia itu ada
Meskipun tanpa rasa kasih dari orang yang kamu harapkan
Kamu tahu bahagia itu tetap ada
Kerana kamu pernah bahagia sebelum wujudnya rasa cinta

Kamu akan yakin bahagia itu masih ada
Kerana bahagia itu letaknya di hati
Dan hati kamu ada tuannya
Carilah tuannya, maka kamu akan ketemu kembali bahagia.

Sementara itu,
fahamilah bahawa rasa dan perasaan
sememangnya aneh.


Timah Tulis : Intro Mengejar Langit Biru

 INTRO 



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kawan-kawan, saya nak beritahu ni yang saya ada menulis satu Novel yang bertajuk MENGEJAR LANGIT BIRU. 

Novel ini berkonsepkan cinta travelog, dan juga satu pengalaman hidup. Saya cuba mengarang novel ini sewaktu saya sedang berada di dalam emosi sebegitu pada satu masa dahulu, jadi kalau kawan-kawan yang sedang membaca tu dan terasa bosannya penceritaan saya, maaflah ya. Sepuluh jari saya pohon. Ini adalah sebab saya tidak mempunyai asas untuk menulis, sebenarnya main hentam keromo sajalah, dan juga emosi saya sewaktu menulis waktu itu lebih kepada mahu melontarkan segala-galanya supaya (kononnya) biarlah dunia tahu apa yang aku rasa

Sewaktu mula menulis tentang patah hati, saya sangkakan sayalah yang paling teruk. Sayalah mangsa yang paling kasihan. Saya kasihankan diri sendiri dan dalam masa yang sama saya membenci diri sendiri. Tapi semakin lama saya menulis (sebenarnya semakin lama saya meninggalkan penulisan saya, bertahun-tahun lamanya diperam) dan semakin dewasa, saya sedar bahawa Love Myself adalah self-remedy dan sweet-revenge yang terbaik. Malah, saya bukanlah orang yang paling teruk berhadapan dengan kes patah hati, ada yang lebih teruk. Di pertengahan novel mungkin kalian akan dapat merasa perbezaan corak penceritaan berbanding awal novel. Harap kalian terima sajalah ya. Maafkanlah kekurangan insan ini wuwu.

Apapun, tujuan saya meletakkan novel ini di sini adalah supaya saya akan rajin menghabiskan manuskrip ini sehingga ke penyudahnya. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Jangan tergantung begitu saja. Moga-moga.

Tajuk MENGEJAR LANGIT BIRU dan gambar Aizat Amdan berlatarkan lagu LANGIT TETAP BIRU menjadi pilihan saya kerana kedua-duanya mencapai maksud yang saya cuba sampaikan dalam novel ini ---- bahawa biar apapun yang terjadi, semuanya akan kembali baik-baik saja. Konsepnya sebagaimana langit sedia ada biru, biarpun dilanda hujan badai ribut taufan, langit kelam atau gelap akan kembali pada sifat asalnya - iaitu biru. Begitu jugalah manusia, biar diuji sehebat mana pun, akan ujian semuanya berakhir dan hati akan kembali tenang. This, too, shall pass.


Moga-moga ada sesuatu yang bermanfaat daripada apa yang saya kongsikan. Sekiranya ada, jangan ciplak, jangan tiru, jangan kopipes. Dilarang sama sekali ya.

Selamat membaca :) carilah di label MengejarLangitBiru ya 💜


Saya Pilih Amway

  Ø¨ِسْÙ…ِ اللهِ الرَّØ­ْÙ…ٰÙ†ِ الرَّØ­ِÙŠْÙ…ِ 

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



PKP 1.0 telah berjaya mempengaruhi saya untuk menyertai Amway sebagai seorang Business Owner (ABO).

Cerita pendeknya, Amway merupakan satu syarikat yang berkonsepkan direct-selling yang mana kami sebagai ABO akan mempromosikan produk Amway bagi mendapatkan bonus bulanan, tahunan, penajaan travel dan duit pencen.

Saya sendiri mengamalkan pengambilan produk-produk Amway selain turut mempromosikan barang-barang tersebut, antaranya vitamin dan suplemen, produk home care dan gajet.

Apapun PKP berjaya merubah saya dari seorang yang hidup selesa dalam kepompong sendiri kepada orang yang berani mahu mencuba perkara baru, iaitu direct-selling.

Produk Amway antaranya ialah:-

Pada yang berminat untuk mendapatkan produk Amway, boleh berhubung dengan saya ye di wasap.my/60108406853/amway atau boleh support saya di Lifehacks with Cik Tim | Facebook

Terima kasih :) 


Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...