Mengejar Langit Biru - Bab 3

BAB  3 : BANGKOK




Cukup 16 jam perjalanan kami dari Butterworth, akhirny kami tiba di stesen Bangkok sekitar jam 11 pagi hari Sabtu. 2 hari 2 malam perjalanan aku dari KL ke Bangkok, punyalah bersusah payah mahu membawa diri.

 Sebaik saja turun daripada keretapi, Anas mengajakku mengikutinya.

“Nak pergi mana?” 

Anas tidak menghiraukan soalanku. Akhirnya kami tiba di papan tanda yang bertulis “Bangkok”. Tidak semena-mena aku tersengih seperti kerang busuk. 

Gembira. Rasa bangga dengan diri sendiri. 

Siapa sangka aku mampu tiba di Bangkok menaiki keretapi saja. Tak tercapai dek akalku untuk ke Bangkok sendirian dan tak sangka boleh melalui jalan darat saja.

Anas mengisyaratkanku supaya berdiri di sebelah papan tanda tersebut, kemudian dia mengambil fotoku menggunakan telefon bimbitnya. Selesai giliranku, aku pula menawarkan diri pada Anas untuk mengambil gambarnya pula. Muka masing-masing walaupun kepam sebab tak mandi secara sempurna semenjak mula perjalanan dari KL, tapi sengihnya sampai ke telinga.

“Masa pertama kali awak ke Bangkok, awak naik keretapi juga ke?” soalku kepada Anas. 

“Ini pertama kali saya tiba di Bangkok menaiki keretapi.” Anas tersengih memandangku. 

“Tapi awak macam dah familiar sangat dengan keadaan keretapi dan stesen sini.” Ujarku kembali.

Anas mengajakku keluar dari stesen keretapi tersebut, dan menunjukkan signal makan. Ya, memang perutku sudah berkeroncong lapar. Kakiku laju saja mengikuti jejak langkah Anas. Sambil berjalan, Anas menjawab persoalanku tadi.

“Saya banyak study di Facebook. Ada juga bertanya kawan-kawan backpackers yang dah biasa ke sini. Biasanya ramai juga yang suka naik keretapi dari Malaysia ke Bangkok.” 

Oh, begitu. Study di Facebook? Adakah ada group khas di Facebook? 

Nanti aku akan bertanya lagi pada Anas, minta dia tunjukkan di mana dia belajar backpacking di Facebook. Punyalah bebal aku ni tak reti nak gunakan kelebihan media sosial sebelum keluar negara sendirian.

Anas sangat cekap dalam selok belok jalan. Kami keluar dari pintu belakang stesen Bangkok, kemudian menyeberang jalan besar. Setelah itu, kami memasuki simpang ke kiri dan melalui satu jalan tikus. Kami berjalan sehingga ke hujung jalan kemudian ke kiri sekali lagi hinggalah ke sekali lagi ke penghujung jalan. Di situ, terdapat dua kedai makan Muslim. Nampak saja pekerja di situ memakai tudung, aku terus menghembus nafas lega. 

Alhamdulillah, ada rezeki boleh merasa masakan tempatan Muslim. Kalau tak nampak tudung tu mungkin aku ragu-ragu juga untuk masuk dan makan.

Kami dijemput masuk ke dalam kedai tersebut. Anas terus menuju ke bahagian lauk-pauk yang sudah sedia terhidang. Aku agak termangu-mangu untuk membuat pilihan lauk yang mana menjadi pilihan di hati. Lauk-lauknya seperti masakan Malaysia, tapi ada kelainan sikit yang membuatkan seleraku sedikit terbantut. Bukannya makanannya tidak menyenangkan mata memandang, cuma warnanya agak kelam dan tidak berjaya menaikkan seleraku. Lambat-lambat aku mengambil sepinggan nasi putih, kemudian mengisi pingganku dengan sejenis lauk ayam yang seperti masakan ayam masak merah, kemudian sedikit sayur campur. Aku kemudian meminta air teh ais atau dikenali dengan cha yen di sini. Aku melihat Anas sudahpun duduk dan memulakan suapan.

“Lepas ini kita ke mana?” tanyaku kepada Anas sebelum menyuapkan nasi ke mulutku. Anas menyedut cha yen menggunakan straw sebelum menjawab pertanyaanku.

“Kita ke hostel. Dekat saja dari sini.”

“Awak bercadang mahu ke Aranyaprathet bila?” 

Malam tadi aku sempat membuka buku Lonely Planet’s Travel Guide: Southeast Asia in a Shoestring dan menjumpai daerah Aranyaprathet. Sekiranya seseorang berhajat mahu ke Kemboja melalui jalan darat dari Thailand, dia boleh mengambil keretapi daripada Bangkok ke Aranyaprathet kemudian berjalan kaki menyeberang sempadan Thailand – Kemboja.

“Besok pagi. Naik keretapi dari stesen tadi juga,” terang Anas. 

Aku mengangguk-angguk perlahan. 

Akalku membuat perkiraan adakah bijak tindakanku sekiranya aku mengikuti Anas. Paling penting, bilakah aku perlu kembali ke Malaysia semula. Aku sedar bahawa memandangkan perjalananku kali ini merupakan pelarian dari rumah yang mana aku tidak mendapatkan kebenaran ibubapaku untuk berjalan jauh, malah kebenaran majikan pun tiada, maka aku tidak boleh berlama-lamaan di negara orang. Adabku masih ada kononnya.

"Kita stay di Hua Lamphong Hostel ya. 5 minit dari sini. Berdepan saja dengan stesen keretapi tadi. Senang saya nak bergerak sebab 1st train yang akan ke Aranyaprathet besok pagi jam 5. Saya kena beli on the spot, tak boleh beli sekarang. Awak ikut saya?"

Aku mengunyah makananku kemudian perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. 

It's now or never, El. Jangan takut sangat.

"Okay. Saya follow." ringkasku jawab.

"Awak dah booking bilik di hostel tu ke?" tiba-tiba aku tergerak untuk bertanya Anas. Yelah, risau juga sebab aku belum buat tempahan bilik. Risau kalau tiada kekosongan nanti terpaksalah aku berjauhan dari Anas.

"Saya dah booking katil untuk dorm lelaki." Anas mengangkat kening memandang aku seolah-olah dia dapat membaca kerisauan aku.

"Harapnya ada bilik kosong untuk awak nanti. Kalau tak ada dorm, awak ambillah bilik seorang." aku mengangguk setuju. 

Bayar jelah berapa kosnya kan. 

Aku terpaksa tutup mata kalau bab-bab duit di sini sebab aku yang gelojoh mahu berjalan ke luar negara tanpa memastikan kewangan aku cukup ataupun tidak.

***

Aku berjaya mendapatkan sebuah bilik di Hua Lamphong Hostel. Aku cuma menempah untuk satu malam dan besok pagi aku akan ke Aranyaprathet bersama Anas.

Malam itu aku dan Anas bercadang untuk meronda bandar Bangkok. 

Aku tiba di lobi dan melihat Anas sedang bertenggek di meja resepsi sambil berbual-bual dengan pekerja resepsi tersebut. Kali ini pekerjanya sudah berganti dan bukan lagi gadis yang sama melayani kami tengahari tadi, tetapi aku agak musykil melihatkan gadis tersebut. Ada sesuatu yang janggal pada gadis tersebut.

Anas menghentikan perbualannya apabila melihat aku sudah tiba di lobi. Dia meminta diri dari gadis tersebut dan kami sama-sama melangkah keluar dari hostel tersebut. Baru lima langkah jauhnya kami dah hostel, Anas tiba-tiba melambakkan tawanya. Aku jadi hairan.

“Awak tahu tak dia tu bukan perempuan tulen?” Anas ketawa lagi. 

“Tapi cantik! Kalau tak dengar suara dia memang tak percaya dia tu asalnya lelaki!” 

Nah! Terhurailah misteri kejanggalan gadis tersebut. Padanlah tak nampak seperti perempuan dan segi bentuk muka dan tubuh badan. Aku cuma tersenyum menahan gelihati. Di sini memang sudah tidak hairan lagi kalau lelaki berubah menjadi perempuan. Kalau ke tandas perempuan, jangan terkejut tiba-tiba ada perempuan sebegini ada di dalamnya. Kita pun jadi keliru sama ada kita yang perempuan ini tersalah masuk tandas atau sebaliknya.

Kami keluar dari hostel dan berjalan lebih kurang 500 meter ke arah bus stop. 

"Hello, which bus is going to Khaosan Road?" Anas menegur beberapa orang yang kelihatan sedang menunggu bas.

"Di Khaosan Road ada apa?" aku bertanya pada Anas.

Ada warga tempatan yang baik hati memaklumkan kepada kami bahawa bas ke Khaosan Road sudah tiba. Bas yang kami naiki akan berhenti di Phra Athit Road dan dari tempat kami diturunkan nanti kami perlu berjalan kaki untuk ke Khaosan Road.

"Kita nak pergi cari makan lah. Awak tak lapar ke?"

"Lapar juga. Ada kedai halal ke di sana?"

"InsyaAllah ada. Kawan saya ada beritahu saya. Kita cari sama-sama ya nanti." aku mengiyakan. Perut pun dah minta diisi. Pandai pula perut ni lapar, kelmarin bukan main tak ada selera makan.

Perjalanan kami menaiki bas memakan masa lebih kurang setengah jam. Masing-masing melayan perasan saja di dalam bas. Mahu berbual pun susah kerana suasana terlalu bising dengan bunyi hon di jalan raya dan penumpang yang berbual sama sendiri.

Seperti yang dimaklumkan kepada kami tadi, bas berhenti di Phra Athit Road dan kami perlu berjalan jauh untuk ke destinasi yang dituju.

Anas sekejap-sekejap melihat ke telefonnya. Mungkin memeriksa jalan melalui Google Maps.

“Dah tak jauh dah kita ni.” Kata Anas. 

Di hujung blok kedai barulah aku ternampak tulisan Restoren Aisyah. Kami bertuah kerana terus mendapat meja dan bangku kosong sebaik saja tiba di restoren ini, walaupun keadaan di dalam kedai agak sesak dengan pelanggan yang datang. 

Anas memesan nasi ayam dan cha yen, manakala aku pula memesan pancake berperisa pisang dan coklat beserta cha yen sebagai pelengkap.

"Boleh saya tahu apa plan untuk ke Aranyaprathet besok?"

Anas mula menerangkan deraf perjalanannya serba sedikit.

"Besok kita akan check out jam 5 pagi. Saya dah inform receptionist tadi yang kita akan check out awal. Lepas Subuh je kita terus keluar ya."

"Subuh jam berapa di sini?"

Anas memeriksa telefon.

"Jam 4.45 pagi." 

Fuh, awalnya Subuh. Jadi jam berapa ye aku perlu bangkit? 

"Kita akan terus ke stesen keretapi Hua Lamphong untuk kejar 1st train pada jam 5.50 pagi. InsyaAllah kita akan sampai di Aran jam 11 pagi. Dari stesen keretapi Aran, kita akan berjalan kaki melintas sempadan ke Cambodia. Cop passport dan kemudian kita naik bas ke Siem Reap."

Aku mengangguk-angguk tanda faham.

"Rough juga perjalanan ya. Kenapa awak nak bersusah payah macam ni? Kenapa tak naik flight terus ke Cambodia?" pelik juga aku kenapa ada orang sanggup bersusah payah sebegini. Tak memasal aku pun terikut bersusah payah bersamanya.

"Ya." Anas menjawab pendek sambil tergelak. Tangannya pantas menggaru kepalanya. Serba salah mungkin untuk menjawab pertanyaanku.

"Saya sebenarnya sedang bercuti sabatikal. Ada banyak masa. Jadi saya fikir, why not saya cuba untuk travel secara jalan darat."

"Awak cikgu?" aku mengambil kesempatan menyerkap jarang seperti tekaanku terhadapnya sebelum ini.

"Saya pensyarah. Saya cuti sabatikal untuk buat thesis PhD tapi masih belum siap lagi." dia tersengih.

Yes! 1 score for me! 

Pandai kan aku teka yang dia ni ada ciri-ciri pengajar. 

"Jadi, bila awak bercadang mahu balik ke Malaysia?"

Anas mengangkat kedua bahunya tanda tidak tahu.

Tiba-tiba aku pula yang menggaru kepalaku walaupun tidak gatal. 

Habis aku ni nak balik bila pula?

***

No comments:

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...