Mengejar Langit Biru - Bab 2

 BAB  2 : TEMAN BARU




“Awak okay ke?” 

Terasa ada jari mencucuk di kepala lututku. Aku tersentak. Mataku membulat ke arah tuan punya jari yang mencucuk lututku.

“Awak okay ke?” 

Sekali lagi aku ditujukan soalan yang sama. Mataku tidak berkedip melihat susuk tubuh di hadapanku yang kini menunjukkan jari telunjuknya ke arah matanya. Aku sedikit berkerut. Tak faham apa yang cuba disampaikan.

“Tu.. kat mata awak tu, kat pipi tu.. awak menangis ke?” 

Akhirnya dia berterus terang bertanya. 

Aku sedikit tersentak. Bila masa aku menangis? Sedikit pun aku tak sedar. Cepat-cepat aku menarik sedikit hujung lengan baju kanan dan mengesat airmata di pipi. Hujung mata aku tonyoh bagi membuang bukti airmata jatuh. Cis! Jatuh keegoaan aku menangis depan orang asing, lelaki pula tu.

Sambil aku membersihkan pipi dan hidung kalau-kalau ada air hidung yang turut keluar dengan lengan bajuku, aku memerhatikan lelaki yang berada di hadapanku. Matanya masih tidak lepas memandangku.

Dia senyum. Aku pun tersipu-sipu membalas senyumannya. 

Matanya jenis kuyu, ditambah pula dengan rambutnya yang lurus dan sedikit panjang sehingga menutupi sedikit mata kanannya, panjangnya jatuh melepasi bahu. Aku rasa rimas melihat rambut di matanya, rasa mahu saja memotong rambut tersebut ataupun meminjamkan cekak rambut padanya. 

Aku telek-telek mukanya dan menganggarkan umurnya sekitar penghujung dua puluhan, ataupun awal tiga puluhan. Sebabnya dia berkumis nipis dan ternampak garis kedutan di sekitar matanya. Tentu orangnya jenis pemurah senyuman. Pakaiannya kemas, memakai t-shirt lengan pendek berwarna kelabu bersama jeans berwarna biru tua, dan sandal. Di sisinya terdapat beg sandang Karrimor berwarna hitam bersaiz sederhana. Amboi, sebegitu tekun sekali aku memerhatikannya walaupun sekadar jelingan di hujung mata.

Matanya masih padaku, memerhatikan gerak geriku. Aku jadi segan. Aku berdehem kemudian membetulkan letak punggungku.

“Dah lama ke keretapi bergerak?” aku cuba memecahkan kesunyian. Dia tergelak. 

“Dah lebih sejam keretapi bergerak. Saya ada tegur awak sewaktu mula keretapi bergerak, tapi nampaknya awak seperti sedang berkhayal. Maaflah ya, saya terpaksa tegur awak tadi sebab saya nampak awak dah lama menangis.” 

Panjang lebar dia menjawab. Adakah dia seorang cikgu? Seorang cikgu memang ada ciri-ciri suka menjawab dengan panjang lebar.

Aku tersengih, cuba menutup rasa malu. Lengan baju kembali kukesatkan ke pipi, manalah tahu kalau masih ada sisa airmata lagi yang tertinggal. Serba salah dibuatnya. Perlukah aku menjawab soalannya tadi bahawa aku okay atau tidak? Aku memutuskan untuk terus diam dan memandang ke luar keretapi. 

“Rasanya kita nak sampai kat Padang Besar ni.” 

Lelaki tadi tiba-tiba bersuara. Dia memberi isyarat kepadaku untuk bersedia dengan beg.

Sejurus kemudian, keretapi pun berhenti. Kami bersama-sama penumpang lain turun ke stesen Padang Besar bagi urusan imigresen untuk memasuki Thailand. Ada yang membawa beg bersama, ada yang meninggalkan beg mereka di kerusi masing-masing. Aku agak seriau untuk meninggalkan beg di kerusi, takut barang-barangku hilang pula nanti.

Turun saja daripada keretapi, kami diarahkan berbaris sebelum memasuki pejabat imigresen. Aku memerhatikan sekeliling dan melihat orang tidak terlalu ramai. Mungkin sebab hari ini bukan hari minggu. Kami menuju ke kaunter kecil di sebelah kaunter imigresen dan masing-masing mengisi borang kemasukan ke Thailand. Terdapat dua borang yang perlu diisi iaitu Arrival Card dan Departure Card. Borang tersebut akan diperiksa oleh pegawai imigresen, dan Departure Card perlulah disimpan rapi sehinggalah waktu keluar dari Thailand nanti.

Selesai urusan di imigresen, aku segera keluar dari pejabat tersebut untuk kembali ke keretapi. Tetapi keretapiku tidak kelihatan, yang tinggal hanyalah landasan kosong! Aku tenyeh-tenyehkan mataku dan melihat ke landasan keretapi sekali lagi.

Ya, memang betul. Keretapi sudah tiada. Aku dah kena tinggal!

Tiba-tiba bahuku terasa dicuit. Aku menoleh melihat siapa yang mencuitku dan tersenyum lega melihatkan lelaki tadi. Lega kerana dia masih ada di sini, dan ini bermakna keretapi bukan tinggalkan aku seorang! Dia mengisyaratkan supaya aku mengikutnya. Kami menaiki tingkat satu dan menuju ke gerai makanan. Aku melihat beberapa pekerja di gerai tersebut memakai tudung, maka aku yakin gerai ini menjual makanan yang halal.

Tanpa meletakkan beg, kami terus memilih lauk-pauk yang terhidang. Aku memilih lauk sekadarnya, semata-mata mahu mengalas perut supaya tidak lapar di waktu malam. Seleraku makanku masih belum ada, cukuplah sekadar makan untuk tidak sakit dan mati saja.

Kami duduk semeja untuk menjamu selera. Pinggannya penuh nasi berlaukkan ayam masak merah dan sayur. Berselera aku melihat dia menyuapkan nasi ke mulutnya. Manakala aku terkuis-kuis nasiku yang berlaukkan telur mata berkuah kicap pedas.

Kami menjamu selera dengan suasana yang sepi. Masing-masing senang melayan setiap suapan tanpa rasa terpaksa untuk memecahkan sepi. Selesai menjamu selera barulah aku berani untuk berbasa-basi dengan lelaki tersebut.

“Nama saya El, dari Selangor.” 

Kami selesai menjamu selera dan mula beratur di hadapan trek keretapi. Aku lihat sudah ramai yang sudah menunggu ketibaan keretapi Thailand. Aku agak berdebar sebenarnya bila menaiki keretapi ini. Terasa seperti menaiki bas, perasaan takut kalau-kalau terlepas stesen.

“Saya Anas.” jawabnya pendek.

“Awak dah biasa travel seorang ke?” 

Aku takut-takut mahu menjawab. Bukankah ada yang berpesan, perempuan haruslah berhati-hati sekiranya berjalan seorang diri. Jangan berani mengatakan kita adalah berseorangan, beritahu saja yang kita ada teman lain yang menanti.

“Er.. setakat ini saya masih seorang. Tapi nanti ada kawan yang akan teman di Bangkok.” 

Aku teragak-agak menjawab soalan Anas. Dia nampaknya seperti lelaki yang baik, Adakah aku boleh percayakan dia? Ah, tapi lelaki semuanya kan sampah? Di sudut hatiku, aku sempat mengutuk kaum lelaki.

Kami menaiki keretapi sebaik saja keretapi tiba, dan kembali ke tempat duduk kami. Waktu inilah baru aku sempat memerhatikan keadaan di dalam keretapi. Keretapi Thailand adalah sedikit berlainan daripada keretapi KTM Malaysia. Pada mulanya aku agak hairan apabila nombor tiketku merupakan tempat duduk, sedangkan aku membeli tiket bagi koc katil. Rupa-rupanya tempat duduk ini nanti akan dibuka lipatan dan dijadikan katil pada waktu malam atau dibuka bila diminta oleh penumpang. Jam di tanganku menunjukkan sudah pukul 8 waktu Malaysia, bermakna baru pukul 7 di Thailand. Ada beberapa kerusi sudahpun dibuka lipatan dan dijadikan katil atas permintaan penumpang yang mahu berehat.

Perjalanan dari Butterworth ke Bangkok memakan masa enam belas sehingga dua puluh jam. Kami dijangka akan tiba di Bangkok pada pukul 10 atau 11 pagi waktu Thailand, pada keesokkan hari.

Puas memerhatikan sekeliling, mataku memerhatikan pula Anas yang berada di hadapanku. Kerusi kami masih belum dibuka lipatan, dan aku pun masih senang duduk di kerusi sebegini berbanding berbaring sepanjang perjalanan. Anas sedang sibuk menulis sesuatu di buku nota kecilnya. Sekilas ingatanku teringat kepada ayah. Ayahku sentiasa membawa buku nota kecil, dan sentiasa menulis. Entah apa ayah tulis, aku tak berani hendak mengambil tahu. Aku pernah dimarahnya jangan menyibuk mahu tahu apa yang ditulis, jadi sejak itu aku tidak pernah lagi mengambil tahu notanya. 

“Anas, boleh saya tanya?” Anas mengangkat kepala dari buku nota. 

“Boleh saya tahu, kebiasaannya awak tinggal hotel di mana ya bila di Bangkok? Saya belum tempah mana-mana hotel untuk bermalam. Awak ada cadangan untuk bermalam di mana?”

Anas menganggukkan kepalanya perlahan. 

“Hm, macam ini ya  El… saya biasanya bermalam di dorm. Sebab saya backpacker jadi bajet saya kebiasaannya terhad.” Dia tersengih kemudian menggaru belakang lehernya. Mungkin tiba-tiba ada nyamuk yang singgah di belakang lehernya.

“Ini baru kali kedua saya ke Bangkok, bukanlah biasa sangat. Dan tujuan saya ke Bangkok kali ini ialah untuk ke Aranyaprathet, sebab saya mahu masuk ke Cambodia melihat Angkor Wat. Jadi, saya cuma akan bermalam di Bangkok satu malam saja. Saya akan tinggal di hostel yang berdekatan dengan stesen keretapi supaya senang saya menaiki keretapi ke Aranyaprathet. Kalau awak berminat, jomlah bermalam di hostel yang sama dengan saya.” 

Panjang lebar dia menjawab. Hati kecilku kuat mahu bertanya dan meneka pekerjaannya sebagai seorang guru, tapi nanti dikata tidak beradab pula. Baru berkenalan, sudah mahu tahu kerja apa.

Aku tidak segera memberikan respon terhadap jawapan Anas. Info yang baru aku terima agak sukar untuk aku proses dalam masa yang singkat. 

Aranyaprathet? Angkor Wat? Tidur di hostel?

"Malam ni saya fikir dulu ya.." ringkas aku memberi jawapan kepada Anas.

Aku meminta izin supaya kerusi kami dibuka lipatan dan dijadikan katil untuk aku berehat. Sekali lagi aku memilih katil di atas kerana harganya yang murah. Maka terpaksalah aku bersusah payah memanjat katil di atas pada waktu keretapi bergoyang.

“Nanti tidur malam jangan menangis ye.” Anas sempat memerliku.

Kurang asam kau. Tak janjilah ya tak nangis.

***

No comments:

Featured post

Thailand : Misi Mengejar Matahari (Satu)

Assalamualaikum & salam sejahtera. Alhamdulillah penutup 2016 dapat jugak layan trip bunga matahari! Kalau ikutkan dah lama plan ke si...